Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jemput pembangkang sertai MKN - Guan Eng
Diterbitkan:  May 11, 2021 5:38 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

DAP menggesa kerajaan membuka keanggotaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada wakil pembangkang untuk bersama-sama mengekang wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis setelah pusingan ketiga perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) diumumkan.

"Keyakinan rakyat perlu dipulihkan kerana pertempuran melawan Covid19 hanya dapat dimenangi dengan bekerjasama dengan rakyat.

"Bagi mengembalikan kepercayaan rakyat, parlimen perlu dikembalikan dan dibuka semula, dan pemimpin pembangkang perlu diundang untuk menyertai Majlis Keselamatan Negara bagi membentuk satu kesatuan menentang Covid-19," katanya.

Guan Eng berkata Muhyiddin perlu mengakui kegagalannya dan melibatkan semua pihak untuk menjadikan PKP 3.0 ini merupakan PKP yang terakhir untuk Malaysia.

"Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu mendengar, melibatkan, dan bekerjasama dengan semua rakyat Malaysia jika dia ingin memastikan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 boleh berjaya menang melawan gelombang ketiga jangkitan Covid-19.

"PKP 3.0 boleh menjadi PKP terakhir bagi Malaysia jika kerajaan PN mengakui kegagalannya, mengembalikan parlimen, menghentikan pusingan U SOP Covid-19 dan dasar, mengakhiri amalan dua darjat dalam penguatkuasaan, membenarkan golongan profesional yang kompeten membuat keputusan dan memfokuskan untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi, "kata Lim.

MKN diangotai oleh Perdana Menteri, Menteri Kanan, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Menteri Pertahanan, Menteri Luar Negeri, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ketua Setiausaha Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara

Sementara itu, Lim berkata amalan dua darjat dalam penguatkuasaan di mana VIP dan menteri terlepas tanpa hukuman atau dikenakan hukuman ringan berbanding  rakyat biasa, memburukkan lagi defisit kepercayaan rakyat.

"Kes terbaru melibatkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali yang tidak mematuhi syarat SOP kuarantin 14 hari setelah kembali dari Timur Tengah.

"Amalan dua darjat seperti ini perlu dihentikan bagi mendapatkan kembali kepercayaan rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS