Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia rekod lebihan akaun RM12.3 bilion pada Q1 2021
Diterbitkan:  May 11, 2021 2:59 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Malaysia merekodkan lebihan akaun semasa sebanyak RM12.3 bilion pada suku pertama (Q1) 2021, susut berbanding RM18.6 bilion pada suku sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi barangan yang memberangsangkan dicerminkan pada suku berkenaan selepas banyak negara berjaya membendung COVID-19, ini melancarkan aktiviti ekonomi sambil terus mematuhi prosedur operasi standard yang ketat.

"Oleh itu, eksport barangan menokok kepada RM225.5 bilion daripada RM217.2 bilion yang dicatatkan pada suku keempat tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan.

Eksport utama adalah elektrik dan elektronik, getah termasuk produk berasaskan bahan kimia ke China, Singapura serta Amerika Syarikat (AS).

Pada masa yang sama, import barangan melonjak RM14.3 bilion dari suku ke suku kepada RM188.9 bilion berikutan peningkatan barangan pertengahan dan utama, kebanyakannya dari China, Singapura serta Jepun.

Mohd Uzir berkata lebihan akaun semasa pada suku pertama 2021 juga disokong oleh defisit yang lebih rendah dalam pendapatan utama pada RM5.7 bilion berbanding RM7.2 bilion pada suku keempat 2020, disumbangkan oleh syarikat Malaysia di luar negara yang memperoleh pendapatan yang lebih baik sebanyak RM17.3 bilion atau peningkatan 19.1 peratus daripada suku sebelumnya.

"Kebanyakan sektor ini adalah kewangan, perlombongan dan pembuatan, yang terletak di Singapura, Indonesia serta AS. Bagaimanapun, perkhidmatan mencatatkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM15.0 bilion berbanding pada suku keempat 2020 disebabkan oleh perjalanan, pembinaan dan perkhidmatan perniagaan lain," katanya lagi.

Menjelang suku pertama 2021, akaun kewangan memulih kepada aliran masuk bersih sebanyak RM16.0 bilion daripada aliran keluar bersih berjumlah RM10.2 bilion pada suku sebelumnya, diterajui oleh peningkatan aliran masuk dalam pelaburan lain pada RM13.9 bilion, disumbangkan oleh pinjaman antara bank dari luar negara.

Mohd Uzir menegaskan sehingga akhir suku pertama 2021, kedudukan pelaburan langsung asing berada pada RM713.4 bilion manakala pelaburan langsung di luar negara mencatatkan RM539.8 bilion.

Posisi pelaburan antarabangsa Malaysia merekodkan kedudukan aset bersih yang lebih tinggi sebanyak RM106.4 bilion berbanding RM67.5 bilion pada tiga bulan sebelumnya manakala rizab antarabangsa sebanyak RM450.8 bilion daripada RM432.3 bilion pada tahun sebelum ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS