mk-logo
Berita
'Bersatu pujuk Dr M': Cuba tanya Hamzah, kata Pejuang
Diterbitkan:  May 11, 2021 11:28 AM
Dikemaskini: 3:28 AM

Mereka yang menafikan Bersatu 'memujuk sokongan' bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hanya perlu bertanya kepada setiausaha agung parti itu, Hamzah Zainudin, kata ketua penerangan jawatankuasa penaja Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin.

Dia berkata demikian sebagai maklum balas kepada Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang menafikan parti itu membuat tawaran kepada Mahathir, yang merupakan penasihat Pejuang.

Mahathir menubuhkan Pejuang selepas Bersatu menyingkirkan pengasasnya itu yang pernah menjadi pengerusi parti.

"Usahlah menegakkan benang yang basah, hakikatnya masih lagi ada individu yang cuba menarik kami untuk pulang bersama Bersatu.

"Tanya saja Hamzah Zainuddin kerana beliau antara yang memujuk Dr Mahathir kembali ke Bersatu.

"Namun prinsip kami bukn untuk dijual beli, tidak mungkin kami termakan dakyah dari mereka yang pernah mengkhianati mandat rakyat," kata Ulya Aqamah pada kenyataan hari ini.

Katanya, penafian Wan Saiful bahawa Bersatu juga membuat tawaran untuk mengekalkan pemimpin dalam parti juga berlawanan dengan rakaman audio bocor yang didakwa suara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menawarkan jawatan sebagai pertukaran untuk sokongan.

Wan Saiful telah menyangkal dakwaan Bersatu memujuk Mahathir itu sebagai tipu daya dan menegaskan, sebaliknya Pejuang perlu fokus terhadao apa yang dapat ditawarkannya.

Ulya Aqamah berkata Pejuang, berbeza dengan Bersatu, berpegang teguh dengan prinsipnya.

"Kami bukan retorik semata-mata. Walau berjuang demi bangsa dan agama, kami memastikan tindakan kami selari dengan perbuatan kami.

"Kami menolak rasuah, salah guna kuasa dan enggan bekerjasama dengan mereka yang telah mengkhianati amanah rakyat.

"Kami kekal berprinsip tanpa sebarang kepentingan peribadi dan sanggup hilang segala kelebihan jawatan dan keistimewaan," katanya lagi.

Ulya turut menempelak Wan Saiful supaya memfokuskan terhadap kegagalan urus tadbir keraaan Perikatan Nasional.

"Dari peningkatan kes Covid-19 yang tidak terkawal, campur tangan politik dalam urusan polis negara sehinggalah kepada masalah sosioekonomi rakyat Malaysia yang jelas tidak terbela dengan dasar dan keputusan kerajaan yang tidak kompeten," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS