Kerajaan mesti memastikan bank memberi moratorium secara automatik selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan buat kali ketiga di negara ini.
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dia tidak pasti apa alasan kerajaan Perikatan Nasional (PN) enggan mengumumkan pelaksanaan moratorium pinjaman tersebut.
Dia yang menjadi salah seorang pengasas Parti Ikatan Demokratik (Muda), berkata apabila PKP dilaksanakan, pendapatan rakyat terjejas lebih teruk selepas terkesan dengan situasi semasa.
"Hendak seribu daya, tak mahu sejuta dalih. Kerajaan harus laksanakan moratorium kepada pinjaman kenderaan dan bayaran rumah rakyat kepada bank.
"Tangguh sehingga enam bulan akan datang. Ini perlu dilaksanakan segera. Bank tak akan rugi. Jangan buat cerita bahawa bank akan rugi.
"Tahun lepas selepas dilaksanakan PKP 1.0, bank tetap mencatatkan keuntungan walaupun perlindungan moratorium diberikan kepada rakyat," katanya.
Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Hannah Yeoh turut menuntut agar moratorium automatik diberikan kepada orang ramai.
"PKP seluruh negara mesti disusuli dengan pengumuman moratorium pinjaman bank secara automatik," katanya di media sosial.
Kecilkan saiz kabinet
Sementara itu parti Muda dalam kenyataan berasingan berkata selain moratorium automatik, ada beberapa isu yang mesti ditangani segera oleh kerajaan.
Ketua Penerangan Muda, Zaidel Baharuddin, berkata antaranya ialah segera mengecilkan saiz kabinet seperti menggantung tugas menteri dan timbalan menteri pelancongan yang dianggap bukan kementerian teras.
"Kementerian Pendidikan pula mesti mengumumkan pelan Pembelajaran dan Pengajaran dari Rumah (PdPR) yang jelas dan teratur, misalnya memuktamadkan dan memaklumkan kepada sekolah-sekolah akan jadual TV Pendidikan.
"Inilah juga waktunya untuk kerajaan memberi bantuan komputer riba seperti yang dijanjikan dalam belanjawan lalu bagi membantu pelajar," katanya.
Selain itu katanya penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard mesti meliputi semua tanpa mengira darjat atau pangkat seseorang.
Turut dituntut Muda ialah agar seluruh jentera kerajaan memberi fokus kepada usaha mengawal pandemik, menguruskan pembekalan vaksin, meneruskan proses pembelajaran dan menyelia sektor ekonomi.
"Sudah tiba masanya perdana menteri berdepan dengan soalan-soalan media," katanya.
Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail (gambar) pula berkata kerajaan sepatutnya tidak membuat pengumuman PKP secara mengejut dan pada saat-saat akhir Ramadan.
Disebabkan kesuntukan itu katanya rakyat yang sudah membuat persediaan awal bagi menyambut 1 Syawal akan berdepan dengan kerugian serta pembaziran.
"Amatlah malang kerana perbelanjaan besar rakyat itu akhirnya membawa kepada pembaziran ketara," katanya kepada Malaysiakini.
Sementara itu Pemuda Amanah Lembah Pantai, Batu, Kepong, Bandar Tun Razak dan Bukit Bintang berkata lebih setengah juta rakyat kehilangan punca pendapatan dan ribuan perniagaan terpaksa gulung tikar akibat pelaksanaan PKP 1.0 dan 2.0 lalu.
Kata mereka kerajaan wajib melaksanakan kembali skim bantuan tunai, subsidi upah dan moratorium menyeluruh secara automatik sehingga Dis tahun ini bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat.
"Kami juga mendesak PKP 3.0 kali ini dilaksanakan bersandarkan data dan analisis saintifik yang tepat tanpa pilih kasih.
"Mana-mana premis perniagaan atau kilang yang melanggar SOP atau menjadi punca merebak Covid-19 perlu dikenakan tindakan termasuk ditutup atau dikuarantin sehingga semuanya disahkan selamat untuk beroperasi kembali," kata mereka dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama malam ini.