Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bakal jemaah haji diminta bersedia jika dapat izin Arab Saudi

Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati bakal haji Malaysia agar bersedia sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah luar negara menunaikan ibadat haji pada tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji TH Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata semua bakal haji hendaklah membuat persiapan sewajarnya dari segi ilmu, kesihatan, rohani dan jasmani serta kewangan.

"TH telah menganjurkan kursus asas haji dalam talian sejak awal tahun ini dan akan mengadakan kursus haji perdana secara dalam talian pada Syawal nanti sebagai persediaan melengkapkan bakal haji dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Saleh mengulas kenyataan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bahawa ibadat haji akan diteruskan tahun ini dengan syarat jemaah mematuhi semua piawaian dan peraturan kesihatan, keselamatan serta pengawalseliaan dalam usaha memelihara kesihatan dan kesejahteraan jemaah haji.

Selain itu, pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi terus menilai dan mengambil segala langkah untuk memastikan kesihatan jemaah haji terjaga dan butiran pelan kawalan. Operasi untuk musim haji tahun ini pula akan diumumkan kelak.

Syed Saleh berkata bakal jemaah haji hendaklah bersedia mengambil suntikan wajib meningococcal serta vaksin Covid-19 apabila dipanggil oleh Kementerian Kesihatan supaya proses pengambilan vaksin memenuhi sela masa ditetapkan, selain membuat pemeriksaan kesihatan serta menjawab surat tawaran dengan segera.

Katanya, TH telah memulakan persiapan awal untuk urusan haji 2021 sejak tahun lepas dengan mengambil kira setiap prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan serta amalan norma baharu dalam urusan pengendalian operasinya sama ada di tanah air atau di Arab Saudi.

Meskipun persediaan bagi menunaikan rukun kelima itu telah dilakukan, katanya kerajaan Malaysia dan TH masih menunggu pengumuman rasmi daripada Arab Saudi berkaitan urusan haji dan jumlah jemaah haji yang dibenarkan tahun ini.

“TH akan memaklumkan perkembangan terbaru sebaik sahaja mendapat pengumuman rasmi berkaitan kuota haji, kriteria jemaah dan syarat-syarat utama harus dipatuhi oleh semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadat tersebut,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS