Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin umum PKP seluruh negara
Diterbitkan:  May 10, 2021 7:09 PM
Dikemaskini: 12:27 PM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan kini diperluas ke seluruh negara.

Langkah itu, katanya, diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikannya hari ini, ekoran trend peningkatan kes harian Covid-19 yang meletakkan negara berdepan gelombang ketiga wabak.

“Rantaian jangkitan Covid-19 hanya dapat diputuskan dengan menggalakkan orang ramai duduk di rumah menerusi kawalan pergerakan yang lebih ketat.

"Sehubungan itu, sidang khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang saya pengerusikan hari ini telah membuat keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PKP kali ini berkuat kuasa dari 12 Mei hingga hingga 7 Jun 2021.

Ini tidak termasuk larangan yang telah diumumkan lebih awal Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob kelmarin (8 Mei), iaitu larangan rentas daerah dan negeri, larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan - yang berkuat kuasa 10 Mei hingga 6 Jun 2021

Namun, semua sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

Dengan pengumuman itu, hanya tiga individu dibenarkan berada dalam satu kenderaan termasuk pemandu bagi kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing.

Bilangan penumpang kenderaan yang membawa barangan serta rantaian ekonomi/industri pula bergantung kepada jumlah yang dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.

Bilangan orang yang dibenarkan di dalam pengangkutan awam pula mestilah mematuhi penjarakan fizikal dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

 

Penjualan makanan hanya dibenarkan secara pandu lalu dan bungkus sahaja, manakala makan di restoran adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Majikan juga diwajibkan melaksanakan dasar bekerja dari rumah dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa.

Semasa sambutan Aidilfitri yang akan dijangka tiba tiga hari lagi pula, ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur adalah tidak dibenarkan.

Solat sunat Aidilfitri pula tertakluk pada kapasiti masjid dan surau - tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah.

Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.

Selain itu, operasi rumah ibadah bukan Islam juga akan diperketatkan.

“Langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan,” kata Muhyiddin.

Selain itu, seperti diumumkan Ismail kelmarin, rentas daerah dan negeri adalah dilarang kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Semua perhimpunan sosial, aktiviti sukan dan rekreasi adalah dilarang, kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti joging, berbasikal dan senaman.

Semua institusi pendidikan juga diarah tutup, kecuali untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa.

“SOP terperinci bagi semua larangan dan arahan yang terkandung dalam PKP ini akan diumumkan oleh MKN,” katanya lagi.

Mengulas pelaksanaan PKP, kata Muhyiddin, dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian setakat hari ini (10 Mei), Malaysia sedang berdepan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.

Tindakan lebih drastik itu juga diambil kerajaan ekoran kewujudan varian baru dengan kadar jangkitan lebih tinggi, kekangan kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing, selain kelemahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan sebahagian masyarakat.

“Data dan sains terus menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti perhimpunan yang menyukarkan penjarakan sosial dan keberadaan orang ramai dalam ruang yang sesak menjadi punca utama penularan Covid-19”, katanya lagi.

Oleh hal yang demikian, tambahnya, PKP di seluruh negara itu harus dilaksanakan bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah. 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS