Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH tubuh 9 jawatankuasa perkukuh gerak kerja
Diterbitkan:  May 9, 2021 5:06 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Pada ulang tahun ketiga PH mengambil alih kerajaan persekutuan hari ini, gabungan itu mengumumkan penubuhan sejumlah jawatankuasa dalam usaha mengubuhkan hubungan parti komponennya.

Menampilkan pemimpin daripada PKR, DAP dan Amanah, PH menubuhkan sembilan jawatan kuasa merangkumi bidang pendidikan, kesihatan, undang-undang, ekonomi, keselamatan, gender, belia, kos sara hidup dan undang-undang.

"Hari ini, tiga tahun yang lalu, dunia menyaksikan sejarah dilakar ketika rakyat Malaysia memilih untuk menukar kerajaan secara demokratik di peti undi. Ketakutan dan keraguan berubah menjadi kegembiraan yang tidak dapat dilupakan.

"Namun, tidak sampai dua tahun kemudian, pada saat gelombang pertama wabak Covid-19, pengkhianat dan golongan oportunis telah bersatu untuk menubuhkan 'kerajaan pintu belakang' melalui tindakan sabotaj dan pengkhianatan.

"Hari ini, kita melihat bahawa kerajaan tidak lagi mampu memimpin negara. Dari segi politik, kerajaan ini kekal sebagai kerajaan minoriti yang tidak stabil," kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution,

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dan Setiausaha Agung Amanah Dr Hatta Ramli dalam kenyataan bersama hari ini.

Jawatankuasa pendidikan akan diketuai Ahli Parlimen Simpang Renggam (Bebas) yang juga bekas menteri pendidikan Maszlee Malik dan dianggotai Nik Nazmi Nik Ahmad, Teo Nie Ching, serta Hasan Baharom.

Jawatankuasa kesihatan pula diketuai bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad dan dianggotai Dr Lee Boon Chye, Dr Kelvin Yii, Hatta Ramli, Sim Tze Tzin dan Ong Kian Ming.

Selain dua jawatankuasa itu, ketua bagi jawatankuasa lain akan diumumkan selepas mesyuarat pertama mereka.

Keanggotaan jawatankuasa itu juga boleh diperluas untuk melibatkan pakar atau mana-mana pihak yang dianggap sesuai dengan bidang tanggungjawab jawatankuasa.

Jawatankuasa ekonomi dianggotai Dr Dzulkefly, Wong Chen (PKR-Subang) dan Tony Pua (DAP-Damansara).

Jawatankuasa keselamatan menampilkan Presiden Amanah Mohamad Sabu, Senator Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Sungai Petani dari PKR Johari Abdul.

Jawatankuasa gender membabitkan Fuziah Salleh dari PKR, Adun Padang Lalang dari DAP Chong Eng dan Senator Aiman ​​Athirah.

Jawatankuasa belia pula dianggotai ketua sayap pemuda ketiga-tiga parti iaitu Akmal Nasir, Howard Lee dan Shzani Munir, manakala jawatankuasa kos sara hidup dianggotai Hassan Karim (PKR-Pasir Gudang), Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat) dan Chong Chieng Jen (DAP-Stampin).

Jawatankuasa undang-undang dianggotai Hanipa Maidin, William Leong dan Ramkarpal Singh, sementara jawatankuasa mobilisasi diisi oleh Mohamad Sabu, Shamsul Iskandar Md Akin dan Steven Sim.

"Ekonomi negara terus muram dan lesu dengan timbunan hutang, kehilangan pelabur asing, angka pengangguran yang meningkat.

"Dari segi kesihatan awam, kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19 semakin ketara jika dilihat lembabnya program vaksinasi dan bersimpang siurnya arahan PKP.

"Kesilapan demi kesilapan oleh kerajaan ini menghantui kita, kompaun yang keterlaluan dengan amalan budaya dua darjat berleluasa, SOP caca marba lagi mengelirukan. Darurat yang langsung tidak berjaya mengawal penularan pandemik, malah keadaan menjadi semakin kritikan.

"Semoga kemenangan pada 9 Mei 2018 menjadi pencetus semangat perubahan dalam PH bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk PRU15 tatkala pandemik reda kelak," kata mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS