Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pusat beli-belah dalam senarai Hide tutup, premis berdekatan buka

Beberapa pusat beli-belah utama di sekitar Lembah Klang yang disenaraikan sebagai kluster dalam sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (Hide) mengambil langkah segera menghentikan operasi meskipun arahan penutupan hanya dikeluarkan malam tadi.

Arahan penutupan selama tiga hari oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) terhadap premis seumpamanya hadir beberapa jam selepas Menteri Sains dan Teknologi Khairy Jamaluddin mengatakan premis yang termasuk dalam senarai Hide tidak perlu ditutup tetapi sekadar dinasihatkan untuk mengambil pelbagai langkah pencegahan Covid-19.

Hanya tinggal beberapa hari sebelum perayaan Hari Raya, Jakel Mall di Kuala Lumpur menghentikan operasi, yang pada mulanya dijadualkan berlangsung sehingga malam terakhir Ramadan.

Pengawal keselamatan yang bertugas di pintu masuk utama ke lokasi lain termasuk Fahrenheit Mall dan Mid Valley Mega Mall dilihat mengarahkan pengunjung yang tidak maklum tentang penutupan itu beredar.

Malah, terdapat seorang kakitangan pusat beli-belah berkongsi di Facebook tentang kekecewaannya berhubung arahan penutupan yang tidak konsisten.

Sungei Wang Plaza di laman Facebook rasminya menyiarkan arahan MKN dan menanda (tag) pusat beli-belah Kuala Lumpur lain, bersama dengan gambar seorang wanita yang kecewa.

Pusat beli-belah lain yang memberi komen, termasuk halaman rasmi Selayang Mall, menyorot bahawa Lot 10 - yang terletak kurang daripada 2km dari Sungei Wang - setakat ini meneruskan operasi.

Begitu juga di Subang Jaya, pusat beli-belah tertua - Subang Parade - akan ditutup selama tiga hari.

Semakan Malaysiakini sekitar tengah hari tadi mendapati bahawa kebanyakan perniagaan telah ditutup, tetapi pintu masuk utama tetap dibuka untuk penghantaran saat-saat terakhir kepada beberapa pemilik kedai.

Ada juga yang meminta masuk untuk memindahkan barang mereka ke cawangan lain yang terletak di Empire Shopping Gallery atau pasar raya besar AEON Big, yang kedua-duanya setakat ini masih beroperasi.

Sejak tengah malam tadi, pusat beli-belah lain termasuk 1 Utama dan Sunway Pyramid juga mengumumkan penutupan untuk melakukan kerja pembersihan seperti diarahkan.

Empat persatuan utama yang mewakili pusat beli-belah dan industri runcit dalam reaksi segera mengkritik arahan penutupan tiga hari itu sebagai bukan hanya pramatang, tetapi memberi amaran akan "kerosakan tidak dapat dipulihkan" pada usaha pemulihan perniagaan.

Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA),Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Peruncit Bumiputra (BRO) dalam satu kenyataan bersama malam tadi mendesak agar arahan penutupan ditarik semula.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS