Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke mempertikaikan larangan rentas daerah di negeri yang berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Keliru dengan pengumuman terbaru itu, Loke menggesa Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob tampil menjekaskan perbezaan antara kawasan yang berada di bawah PKPB dengan yang berada di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).
"Saya cuba memahami penjelasannya tetapi kenyataan rasmi Menteri Pertahanan dalam page FB rasmi Kementerian Pertahanan langsung tidak menyentuh perkara ini.
"Dalam pengumuman penting seperti ini, sepatutnya sidang media diadakan oleh Menteri supaya penjelasan lebih lanjut tentang mekanisma pelaksanaan dapat diterangkan.
"Saya menyeru Menteri Pertahanan tampil memberikan penjelasan esok dan menjawab mengapa larangan rentas daerah dilaksanakan di negeri PKPB?" kata Loke, yang juga anggota Parlimen Seremban.
Semalam, Ismail mengumumkan bahawa larangan perjalanan rentas daerah kini diperluas ke seluruh negara selama empat minggu bermula 10 Mei hingga 6 Jun.
Kerajaan juga melarang semua aktiviti sosial yang melibatkan keramaian.
Garis panduan terbaru itu dilihat menyerupai yang dikenakan di kawasan PKPB.
Sebelum ini, sekatan perjalanan rentas daerah hanya dikenakan di kawasan yang dikenakan PKP.
Untuk rekod, perbezaan yang paling ketara antara kawasan PKP dan PKPB, mulai 10 Mei, adalah kawasan PKPB mempunyai sekatan yang lebih sedikit terhadap jenis perniagaan yang dibenarkan untuk beroperasi.
Contohnya, pawagam tidak boleh beroperasi di kawasan PKP.
Ismail sebelum ini berkata perjalanan rentas daerah dan negeri hanya akan dibenarkan dengan kebenaran polis.
Bagaimanapun, seorang pegawai Kementerian Pertahanan kemudian menjelaskan bahawa mereka yang rentas negeri bagi tujuan kerja hanya perlu mengemukakan surat dari syarikat masing-masing.
Ismail juga berkata, sektor awam dan swasta juga tidak dibenarkan mengadakan acara rasmi atau sosial.
Tambahnya, garis panduan itu akan diteliti semula selepas dua minggu.
Ini adalah kali pertama perjalanan rentas daerah dikenakan secara serentak di seluruh negara sejak Mac tahun lalu.
Bagaimanapun, kebanyakan bentuk aktiviti ekonomi - termasuk padang golf - dibenarkan untuk beroperasi semula di kawasan PKP.
Sekatan terbaru ini hadir ketika Kementerian Kesihatan sedang berdepan jumlah pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi yang tertinggi sementara kapasiti beberapa hospital sudah di tahap maksimum.
Ia juga hadir ketika kerajaan baru memperkenalkan sistem peringatan amaran yang dikenali sebagai Hotspot Identification for Dynamic Engagement (Hide).