Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKP di Kuantan, tiga daerah P Pinang, tiga mukim Perak
Diterbitkan:  May 8, 2021 8:00 PM
Dikemaskini: 1:31 PM

Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh daerah Kuantan, Pahang, tiga daerah dan tiga mukim di Pulau Pinang serta tiga mukim di Perak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKP ini akan berkuatkuasa bermula 10 Mei sehingga 23 Mei 2021.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKP di semua kawasan tersebut," katanya pada kenyataan hari ini.

Jelasnya, di Kuantan, setakat semalam 1,578 kes positif Covid-19 direkodkan di daerah itu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam komuniti, selain terdapat peningkatan jumlah kes sporadik dengan 10 kluster aktif.

Di Pulau Pinang, daerah yang dikenakan PKP ialah daerah Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, serta Mukim 12 di Barat Daya; dan Bandar Butterworth dan Mukim 14 di Seberang Perai Utara.

Ismail Sabri berkata di Pulau Pinang, terdapat 14 kluster aktif ketika ini dengan kadar insiden yang semakin meningkat di beberapa mukim dan daerah.

"Dengan pelaksanaan PKP di tiga daerah dan tiga mukim di negeri ini, pergerakan rentas negeri dan daerah adalah tidak dibenarkan, begitu juga pergerakan antara tiga mukim yang dilaksanakan PKP turut tidak dibenarkan," katanya.

Di Perak, kawasan PKP melibatkan Mukim Hulu Kinta yang meliputi Ipoh, Lahat, Chemor, dan Tanjung Rambutan; serta Mukim Pengkalang Hulu dan Belukar Semang di daerah Hulu Perak.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS