Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Teruskan projek bina LCS untuk kepentingan kontraktor atau TLDM?'
Diterbitkan:  May 8, 2021 3:06 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

Bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu dan bekas timbalannya, Liew Chin Tong mempersoalkan rancangan kerajaan untuk menghidupkan semula pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS), yang sebelum ini tertangguh selepas berdepan kelewatan dan kenaikan kos.

Antara lain, mereka mempersoalkan apakah rancangan itu telah mempertimbangkan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia, dan sama ada sebab-sebab kelewatan sebelum ini telah ditangani.

Mereka mengatakan bahawa mereka berasa "hairan" dengan pengumuman mengenai projek itu oleh Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob kelmarin yang tidak menyentuh tentang rancangan lanjut kerajaan dan jadual untuk memastikan kapal-kapal ini akan disiapkan.

"Kami cukup bimbang sekiranya niat kerajaan hanya terhad kepada kepentingan kontraktor, dan bukan kepada pengguna kapal itu.

"Tidak dinafikan bahawa tidak eloklah untuk kita menutup periuk nasi sesiapa, lagi-lagi ketika wabak Covid-19 sedang melanda negara.

"Akan tetapi, kita perlu juga ingat, tujuan utama projek ini dijalankan selain membangunkan industri pertahanan tempatan adalah untuk melengkapkan TLDM dengan peralatan moden. Pemikiran Kabinet yang gagal meletakkan keperluan TLDM sebagai pertimbangan utama dalam hal ini mengecewakan," kata Mohamad dan Liew dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Pembuat kapal Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dianugerahkan kontrak bernilai RM9 bilion itu pada tahun 2011 untuk membina enam LCS kelas Gowind yang dibangunkan oleh pengeluar Perancis Naval Group France (ketika itu dikenali sebagai DCNS). Penganugerahan projek itu dilakukan melalui rundingan langsung.

LCS pertama akan dihantar pada bulan April 2019, tetapi apabila tarikh akhir terlepas, Mohamad yang masih menjadi menteri pada masa itu mengatakan ia akan selesai pada Februari 2022.

Bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi dijadual memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam dan penghantaran lewat pada Januari tahun ini, tetapi prosiding PAC terganggu selepas parlimen ditangguhkan susulan pengisytiharan darurat.

Menurut Pengerusi PAC Wong Kah Woh, kerajaan telah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead pada Oktober 2020, tetapi belum menerima satu pun kapal walaupun dua buah sepatutnya siap pada ketika itu.

Sementara itu, Ismail tahun lalu telah memberikan tiga pilihan untuk meneruskan projek itu.

Bernama memetiknya pada 27 Ogos mengatakan pilihan pertama adalah menggunakan baki dana yang diperuntukkan untuk projek itu untuk melantik Naval Group sebagai "kontraktor penyelamat" untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya dua LCS.

Yang kedua adalah meneruskan kontraktor semasa menggunakan baki dana untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kapal. Pilihan terakhir adalah menamatkan kontrak dan mencari kaedah lain untuk menyelamatkan projek.

Semalam, Ismail mengumumkan bahawa kabinet telah setuju agar Boustead melanjutkan projek itu dengan syarat-syarat tertentu yang harus dipenuhi, untuk menyelamatkan 1,600 pekerjaan tempatan dan 400 perusahaan kecil dan sederhana.

Mohamad dan Liew turut mengkritik pengumuman itu kerana menurut mereka tidak mempunyai perincian bagaimana kerajaan akan mengatasi masalah sebelum ini.

Ini termasuk melengkapkan reka bentuk kapal yang terperinci untuk disetujui oleh Naval Group sebagai pihak berkuasa reka bentuknya.

Mereka juga mempersoalkan status dana projek bernilai RM1 bilion yang dikatakan tidak dijelaskan.

"Apakah status dana berjumlah RM1 bilion yang telah hilang daripada akaun projek? Apakah status forensik audit? Pada bulan Disember yang lalu, menteri pertahanan telah menjelaskan dua-dua perkara ini sedang diusahakan.

"Apakah status semasa siasatan? Adakah duit yang hilang itu akan dikembalikan? Sekiranya tidak, apakah langkah lanjutan kerajaan untuk memenuhi jurang kewangan yang wujud hasil daripada kehilangan dana ini?" soal mereka.

Mereka juga menuntut untuk mengetahui berapa kapal yang akan disiapkan, jika kerajaan tidak memberikan dana tambahan untuk projek itu.

" Adakah wajar untuk kerajaan menerima kurang daripada empat buah kapal, walhal lebih daripada dua pertiga jumlah siling telah dibayar?

"Lebih penting lagi, apakah masa depan untuk kelompok kapal LCS seterusnya? Program 15-to-5 menyatakan keperluan untuk 12 kapal secara keseluruhannya, terbahagi kepada dua kelompok, setiap satunya terdiri daripada enam buah kapal.

"Sekiranya enam kapal tidak disiapkan sepenuhnya, apakah akan terjadi kepada kapal-kapal seterusnya dalam 10 tahun akan datang?" tambah mereka.

LCS kini merupakan sebahagian daripada program pemodenan angkatan laut yang diperkenalkan pada tahun 2015 yang akan menyaksikan armada ketika ini yang terdiri daripada 15 kelas kapal dikurangkan kepada hanya lima kelas untuk memudahkan penyelenggaraan dan meningkatkan kesediaan.

LCS dijadualkan menjadi kapal tempur terbesar antara lima kelas kapal. Rancana itu menjangkakan untuk membina 12 seumpamanya, disokong oleh 18 Kapal Misi Pesisir (LMS) yang lebih kecil dan 18 Kapal Peronda Generasi Baru.

Rencana itu juga menjangkakan agar tentera laut memiliki tiga Kapal Sokongan Pelbagai Fungsi dan empat kapal selam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS