Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan keluarkan senarai kawasan titik panas harian
Diterbitkan:  May 8, 2021 2:26 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Kerajaan menyiarkan senarai kawasan berisiko yang dikenal pasti oleh sistem amaran awal Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) sebagai titik panas (hostspot) penularan Covid-19.

Senarai itu akan dikeluarkan setiap hari di seluruh negara sebagai sebahagian usaha untuk membantu langkah-langkah pencegahan awal kepada pelancong, pengunjung dan pemilik premis.

"Analisis HIDE di bawah kendalian Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat ramalan ke atas premis-premis yang berpotensi menjadi lokasi titik panas penularan Covid-19 dalam tempoh tujuh hari berdasarkan pemantauan yang dilakukan," kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini.

Pada hari pertama, Kuala Lumpur mendahului senarai dengan 62 lokasi, diikuti oleh Selangor dengan 54 lokasi, yang merangkumi sebahagian besar pusat beli belah, pasar raya, kedai runcit dan pasar basah.

Premis tersenarai yang lain termasuk beberapa bank, dua kilang, stesen LRT dan dua masjid besar. Ia juga menyenaraikan satu taman awam di Kuala Lumpur, Taman Metropolitan Kepong.

 

Menurut soalan lazim (FAQ) HIDE, premis yang disenaraikan bukanlah kluster sebenar, tetapi kluster yang kemungkinan tercetus kecuali langkah-langkah awal diambil.

Khairy berkata, penyenaraian lokasi untuk rujukan orang ramai sangat diperlukan memandangkan jumlah kes Covid-19 harian yang membimbangkan, dengan 23,712 kes positif baru dikesan dalam seminggu terakhir dan peningkatan kemasukan unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 21 peratus.

Menurut Khairy, antara langkah pencegahan yang boleh diambil termasuk menghantar notifikasi kontak kasual menerusi aplikasi MySejahtera; kawalan pergerakan pengunjung/pelawat dengan lebih ketat; menghalang kemasukan pengunjung/pelawat dengan status berisiko tinggi seperti yang terpapar di aplikasi MySejahtera; mewujudkan sistem gelembung tempat kerja dan susunan bekerja dari rumah; serta melakukan ujian saringan secara massa ke atas pekerja.

"Orang ramai dinasihatkan untuk menangguhkan kunjungan ke lokasi atau premis yang disenaraikan. Sekiranya masih perlu mengunjungi lokasi atau premis tersebut, patuhi garis panduan yang telah ditetapkan serta sentiasa mengamalkan budaya normal baharu," tambahnya.

Khairy pada hari Selasa mengatakan bahawa mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 1 Mei telah memutuskan untuk menggunakan HIDE sebagai sistem amaran awal yang lebih bersepadu untuk mengenal pasti kawasan, atau premis, yang berisiko menjadi tempat jangkitan Covid-19.

Di luar KL dan Selangor, terdapat 32 lokasi lain yang disenaraikan, yang juga terdiri daripada kebanyakan premis komersial di mana diramalkan mungkin terdapat lebih banyak orang yang berkumpul.

Dikatakan senarai harian disusun berdasarkan jejak kontak ke belakang dan ke depan menggunakan data daftar masuk MySejahtera, di mana sebilangan besar individu yang berpotensi terdedah kepada individu positif Covid-19 telah mengunjungi tempat tersebut.

Ada juga kemungkinan premis disenaraikan dalam senarai HIDE lebih daripada sekali, yang dikatakan akan menjadi petunjuk bahawa kawalan tidak mencukupi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS