Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Klip audio: Doktor nafi suaranya dakwa '10,000 kes jika benar ziarah raya'
Diterbitkan:  May 7, 2021 11:39 PM
Dikemaskini: May 8, 2021 1:58 AM

Pakar perubatan Dr Musa Mohd Nordin menafikan suaranya di sebalik klip audio tular yang mendakwa Malaysia akan menghadapi "minimum 10,000 kes (Covid-19) sehari" pada akhir bulan jika membenarkan ziarah Hari Raya Aidilfitri.

Doktor pediatrik yang berpusat di Hospital Pakar KPJ Damansara itu membuat hantaran di Twitter menafikan pembabitannya dalam klip audio tersebut dan meminta pihak yang mengedarkannya untuk menarik keluar audio itu dan meminta maaf.

"Audio tular di WhatsApp itu bukan saya. Saya tidak buat perkara-perkara tanpa nama,” katanya.

Dia juga berkongsi kenyataan akhbar hospital yang menyatakan klip audio itu tidak dibuat oleh Musa.

"Untuk rekod, satu laporan polis rasmi telah difailkan.

"Kami ingin mengingatkan semua netizen untuk tidak mengaitkan apa saja mengenai mesej suara itu dengan konsultan (Musa) atau hospital kami.

"Tindakan mengaitkan konsultan dan hospital kami dengan mesej berkenaan adalah tidak berasas, tidak benar dan cukup tidak bertanggungjawab," kata Hospital Pakar KPJ Damansara.

Klip audio berdurasi hampir enam minit itu dan telah tersebar luas melalui Whatsapp.

Suara lelaki yang kelihatan jelas dalam audio itu tidak memperkenalkan dirinya, tetapi klip itu diedarkan bersama-sama dengan mesej kedua yang mendakwa bahawa ia daripada "Dr Musa Nordin dari Damansara Specialist Centre."

Hari Raya Aidilfitri akan disambut pada 13 Mei tahun ini.

Kerajaan telah melarang rumah terbuka kerana peningkatan jumlah kes Covid-19, tetapi membenarkan ziarah hari raya.

Untuk kawasan bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), ziarah Aidilfitri hanya dibenarkan pada hsatu Syawal dan terhad kepada 15 pengunjung pada satu-satu masa.

Kawasan bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dibenarkan 20 pengunjung pada satu masa, manakala kawasan bawah PKP pemulihan pula dibenarkan 25.

Kawasan bawah PKPD pula hanya dapat merayakan Aidilfitri antara ahli rumah yang sama saja dan tidak menerima pengunjung.

Kawasan bawah PKP dan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) juga tidak dibenarkan mengunjungi kubur semasa Aidilfitri.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS