mk-logo
Berita
Covid-19: Kerajaan usah malu mengaku gagal, rombaklah MKN - Zaid
Diterbitkan:  May 7, 2021 10:09 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

Selepas lebih setahun negara berdepan dengan pandemik Covid-19, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mengetepikan rasa malu untuk mengaku kelemahan mereka mengatasi virus tersebut, kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim.

Justeru menurutnya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu merombak semula ahli Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia ada yang ditugaskan membuat dasar dan menangani Covid-19.

“Kita telah gagal dalam 18 bulan ini. Tak (usah) malu mengaku kelemahan diri. Ambillah kumpulan yang lain.

"Tidak payah ramai wakil polis dan tentera. Tidak perlulah ramai orang politik yang hanya mementingkan kepentingan politik," katanya yang juga bekas ahli parlimen Kota Bharu.

Menurut Zaid jika ada ada negara lain yang kurang maju berbanding Malaysia lebih berjaya menguruskan Covid-19, itu menunjukkan Putrajaya sudah gagal.

Dan puncanya, kata tokoh yang memiliki latar belakang undang-undang itu, ialah kerana kerajaan memilih orang yang tidak ada kemampuan menyelesaikan masalah.

“Oleh kerana kita ada darurat, perdana menteri tidak perlu bimbang mengenai undi tidak percaya.

"Beliau sepatutnya buatlah yang terbaik untuk negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

'Perang' melawan Covid-19 di negara ini masih belum menunjukkan tanda reda apabila hari ini data rasmi menunjukkan hampir 4,500 kes baru direkodkan

Berterus-terang pada rakyat

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pula berkata sebanyak 506 kes ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) hospital di seluruh negara, termasuk 295 yang bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Noor Hisham juga memberitahu ada hospital mencatatkan kadar penggunaan katil ICU melebihi 90 peratus. Sesetengah pesakit juga terpaksa diberikan bantuan alat pernafasan di wad-wad biasa saja. 

Secara keseluruhan Malaysia mencatatkan 432,425 kes setakat ini dengan 34,789 adalah kes aktif.

Hari ini juga sebanyak 22 kematian direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan korban Covid-19 sebanyak 1,632 orang.

Zaid berkata kerajaan dan MKN juga perlu berterus-terang kepada rakyat berhubung sesuatu tindakan yang diambil.

Misalnya kata Zaid berhubung jumlah dos vaksin yang dibeli, harga vaksin dan sama ada negara benar-benar mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi untuk rakyat.

“Tidak guna kita ada iklan (menggunakan) artis yang menyeru rakyat mengambil suntikan vaksin kalau vaksin tidak cukup.

“Beritahu rakyat berapa harga vaksin. Semua ini tidak boleh sulit. Akta Rahsia (Rasmi) bukan untuk merahsiakan perkara seperti ini. Apakah kita ada duit untuk setahun lagi?” katanya.

Dia juga mencadangkan supaya hanya seorang individu dilantik menjadi jurucakap ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) iaitu Noor Hisham.

“Tidak payahlah menteri-menteri lain keluar TV. Keputusan dasar dan PKP mesti berteraskan fakta dan sains, bukan politik.

“Jangkitan lebih tinggi dari (sektor) pekerja pembinaan jika dibandingkan dari restoran, (tapi) mengapa makan di restoran tidak dibenarkan dan sektor pembinaan berjalan seperti biasa?

“Rakyat kena faham mengapa PKP membenarkan bazar Ramadan tetapi restoran mamak ditutup. MKN mesti objektif dan saintifik,” katanya.

Mulai semalam enam daripada sembilan daerah di Selangor diletakkan di bawah pelaksanaan PKP bermula dan akan berlanjutan sehingga 17 Mei. Selain itu seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan beberapa daerah serta mukim di Johor, Perak dan Terengganu pula akan bermula pada hari ini sehingga 20 Mei.

Ini merupakan PKP kali ketiga dilaksanakan kerajaan dalam usaha membendung penularan jangkitan Covid-19.

Pada masa sama, Zaid berkata kerajaan juga perlu berani membuat keputusan sekiranya mahu menyaksikan penurunan kes jangkitan dengan melaksanakan prosedur operasi piawai (SOP) yang lebih relevan.

“Keputusan mengenai berapa ramai orang boleh berada di tempat ibadah dilepaskan kepada kerajaan negeri. Ini tidak wajar.

“Covid-19 bukan soal agama, tetapi soal kesihatan umum. Putrajaya kena berani buat keputusan kalau Covid-19 yang nak dilawan.

"Mengapa bazar dibuka di sesetengah tempat dan ditutup ditempat yang lain?

“Ini bukan cara mengatasi virus bahaya seperti Covid-19. Keputusan mesti dibuat dan dilaksanakan dengan tegas, barulah rakyat faham,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS