mk-logo
Berita
Zahid minta menteri Umno desak kerajaan PN tubuh RCI
Diterbitkan:  May 7, 2021 4:39 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Umno bersetuju dengan gesaan pemuda mereka yang mahu agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi meneliti pendedahan dibuat dua tokoh lantikan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Justeru Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan mengarahkan ahli parlimen mereka yang berada dalam kerajaan untuk menyuarakan kehendak itu.

"Saya akan meminta menteri-menteri yang mewakili Umno untuk membawa saranan ini kepada kerajaan agar tindakan segera dapat dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata penubuhan RCI itu perlu bagi memulihkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadap institusi yang menjaga kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara.

Malah katanya penubuhan RCI itu boleh disekalikan walaupun pendedahan itu melibatkan dua tokoh yang berbeza dan pada waktu yang tidak sama.

Ahli parlimen Bagan Datuk itu mengulas mengenai pendedahan dibuat bekas peguam negara Tommy Thomas dan beka ketua polis negara Abdul Hamid Bador.

Thomas menceritakan pelbagai insiden yang berlaku dalam kerajaan sepanjang tempoh berkhidmat di bawah PH melalui memoirnya My Story: Justice in the Wilderness.

Abdul Hamid pula pada 30 April lalu mengejutkan orang ramai dengan beberapa dakwaan - termasuk campur tangan menteri dalam urusan dalaman polis - pada sidang media terakhirnya sebelum dia bersara baru-baru ini.

Antara dakwaan dibuat Abdul Hamid ialah cubaan menteri terbabit mengatur pelantikan pegawai-pegawai kanan dalam pasukan keselamatan berkenaan.

Ahmad Zahid berkata pendedahan Thomas dan Abdul Hamid itu adalah serius terutama yang melibatkan campur tangan politik dan rasuah dalam institusi kritikal negara.

Bagaimanapun di sebalik kenyataan itu menarik untuk diperhatikan bagaimana reaksi menteri-menteri Umno ketika mereka sebelum ini dilihat tidak sehaluan dengan pendirian parti untuk menarik diri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod kerajaan PN diketuai Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu, manakala menteri yang disentuh Abdul Hamid itu - Hamzah Zainudin - merupakan setiausaha agung parti berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS