Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Awas, polis akan periksa jika kadar tol anda tinggi
Diterbitkan:  May 7, 2021 11:55 AM
Dikemaskini: 4:03 AM

Mana-mana pengguna lebuh raya yang didapati mempunyai kadar bayaran tol tidak munabasah dan tinggi akan dikenakan kompaun selain diarah berpatah balik ekoran kesalahan rentas negeri, kata Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau berkata ini antara strategi digunakan pihaknya dalam membanteras pergerakan rentas negeri khasnya sewaktu musim perayaan selain usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 ke negeri ini.

"Akan ada pemeriksaan (oleh beberapa anggota di plaza tol), tetapi tidak kepada semua kenderaan. Kalau kita buat terlalu ketat seperti pemeriksaan semua kenderaan, akan menyebabkan kesesakan lalu lintas. Kita mungkin tengok pada kadar bayaran tol.

“Contohnya bila bacaan tol itu tinggi seperti dari Jalan Duta, kita akan hentikan kenderaan tersebut untuk tindakan kompaun dan arah pengguna berpatah balik kecuali mereka yang ada surat pelepasan. Ini satu daripada strategi.

“Kadang-kadang ada yang pandai keluar tol itu ini untuk elak dikesan rentas negeri. Mereka ada pelbagai taktik. Kita tidak mampu periksa semua pengguna jalan raya. Berilah kerjasama kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara hari ini.

Sebelum ini, beliau dilapor berkata polis Perak akan memperketatkan lagi sekatan jalan raya (SJR) di 27 laluan keluar masuk di negeri ini bagi mengekang pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran oleh mana-mana individu menjelang dan sewaktu sambutan Aidilfitri.

Justeru, Mior Faridalathrash berkata usaha pihaknya sewaktu pengoperasian di SJR itu memerlukan kerjasama dan dasar tanggungjawab semua pihak dalam memastikan kadar jangkitan Covid-19 dapat dikekang sepenuhnya.

“Kalau kita tiada rasa tanggungjawab, sampai bila-bila apa kita buat ini tidak akan berjaya,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menerima kira-kira 3,000 permohonan rentas negeri setiap hari membabitkan 15 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negeri namun ada yang ditolak kerana alasan yang tidak kukuh dan tidak menyakinkan.

“Kadang-kadang sampai 3,000 permohonan sehari, tetapi bukan tujuan sosial. Jika ingin ziarah orang tua, sambut perayaan memang tidak dibenarkan kecuali kematian, tujuan perubatan, ambil anak dari asrama, ekonomi dan perhubungan jarak jauh.

“Kita memang periksa dengan teliti. Ada yang kita tolak lebih kurang 100 permohonan sehari. Kadang-kadang alasan atas dasar kebajikan tetapi sebenarnya bukan. Kematian pun yang dibenarkan cuma keluarga rapat sahaja. Kebanyakan permohonan untuk rentas negeri pada hujung minggu," jelasnya.

Terdahulu, beliau menyampaikan penghargaan kepada anggota dan pegawai dari IPD seluruh negeri yang telah menunjukkan prestasi terbaik dan cemerlang dalam perkhidmatan serta penugasan bagi tempoh bulan lepas.

Dalam ucapannya, Mior Faridalathrash berkata prestasi jenayah indeks negeri ini masih terkawal sepanjang empat bulan pertama apabila menunjukkan penurunan sebanyak 227 kes (19.2 peratus) berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Selain itu, dalam tempoh yang sama juga tegasnya, seramai 3,346 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah yang antara lain menunjukkan peningkatan sebanyak 331 orang (11 peratus).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS