mk-logo
Berita
PSM bantah jualan Lapangan Terbang Subang
Diterbitkan:  May 7, 2021 11:45 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantah cadangan penjualan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah kepada Subang Skypark Sdn Bhd (Subang Skypark), dengan mendakwa ia bertentangan dengan kepentingan awam.

Ahli jawatankuasa pusat PSM Sharan Raj berkata, cadangan itu dapat mendedahkan pengendali lapangan terbang Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) kepada persaingan pasaran penuh yang berkiblatkan keuntungan, walaupun ia mempunyai peranan untuk menampung pengangkutan udara domestik di kawasan pedalaman di Malaysia Timur.

Katanya, baik syarikat induk Subang Skypark, WCT Holdings Bhd (WCT Holdings) mahupun pengerusi eksekutif kumpulan itu Desmond Lim, tidak mempunyai kapasiti kewangan untuk melaburkan RM3.7 bilion bagi pembelian itu tanpa membuat pinjaman besar daripada pasaran bon dan pinjaman bank.

Sharan Raj, Ahli jawatankuasa pusat PSM 

Dia turut mendakwa bahawa setakat 31 Dis 2019, pegangan tunai WCT Holdings adalah kurang daripada RM650 juta.

“WCT Holdings tidak boleh bergantung sepenuhnya pada penumpang pesawat peribadi dan harus masuk ke pasaran penumpang massa yang dikendalikan oleh KLIA dan KLIA2 untuk membayar hutang yang banyak itu serta mendapatkan keuntungan,” kata Sharan dalam satu kenyataan.

Akibatnya, dia berkata, MAHB selaku pengendali lapangan terbang akan menjana pendapatan yang merosot daripada aktiviti komersil di KLIA dan KLIA2 - yang digunakan untuk memberi “subsidi silang” terhadap penyelenggaraan 18 lapangan terbang landasan pendek (Stolport).

“Kemerosotan pendapatan KLIA dan KLIA2 akan menyebabkan penyelenggaraan Stolport menjadi teruk. Kesannya, kerajaan harus menyalurkan cukai awam daripada pendidikan dan penjagaan kesihatan untuk mensubsidikan Stolport.

“Di kawasan pedalaman Malaysia Timur tanpa jalan raya, keterhubungan udara menerusi Stoport ialah satu-satunya talian hayat untuk membawa masuk barangan, makanan, petugas kesihatan, guru dan surat khabar,” katanya.

Setiausaha PSM Melaka itu berkata, merosotnya pendapatan berkenaan mungkin akan meningkatkan harga tiket penerbangan pada masa hadapan.

“Dalam jangka masa panjang, MAHB mungkin akan menaikkan caj pendaratan untuk menampung kehilangan pendapatan yang membawa kepada harga tiket yang lebih tinggi.

“Harga tiket kapal terbang yang lebih tinggi seterusnya akan mengurangkan ketibaan pelancong antarabangsa dan mengurangkan penerbangan domestik antara Malaysia Timur dan Barat,” tambahnya.

Secara keseluruhannya, Sharan berkata, sebagai syarikat berkaitan kerajaan, MAHB akan menyediakan kadar lebih rendah kepada kerajaan namun kerajaan tidak harus menjangkakan untuk mendapat kadar serendah itu daripada kapitalis swasta yang bermotifkan keuntungan.

Semalam, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menggesa kerajaan tidak mengambil kesempatan atas pelaksanaan darurat untuk menjual lapangan terbang berkenaan, yang lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.

Lapangan terbang itu, yang mula beroperasi pada 1965, kini menjadi pangkalan buat perkhidmatan pesawat turboprop Firefly dan Malindo Airlines. Ia kini dimiliki Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dengan konsesi yang akan berakhir sehingga 2069.

Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Wang Persaraan mempunyai pegangan kolektif sebanyak 53 peratus dalam syarikat itu, setakat hujung 2020.

Portal The Vibes pula melaporkan bahawa WCT Holdings telah menghantar cadangan konsesi baru yang akan berakhir pada 2092. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS