Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKP: Timbalan menteri pertahan larangan sukan di tempat terbuka
Diterbitkan:  May 7, 2021 10:16 AM
Dikemaskini: 5:25 AM

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempertahankan larangan sementara sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ia di tengah-tengah kritikan pakar perubatan bahawa risiko penularan Covid-19 dari kegiatan sukan dan rekreasi di tempat terbuka adalah rendah.

Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican dijangka mengemukakan pendekatan lebih wajar mengenai perkara itu dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

Dalam satu ciapan malam tadi, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan MKN telah membuat penilaian menyeluruh sebelum mengenakan larangan tersebut.

"Sebagai peminat sukan tentu saja kita sedih dengan sekatan ini, tetapi saya cukup yakin Kementerian Kesihatan dan MKN telah menggunakan semua kaedah dan data saintifik yang diperlukan sebelum mengambil keputusan ini.

"Semoga keadaan menjadi lebih baik," katanya ketika mengulas kritikan itu.

Keputusan untuk melarang semua kegiatan sukan dan rekreasi di bawah PKP 3.0 dibuat semalam, dengan garis panduan dikemas kini malam tadi.

Adun Subang Jaya, Michelle Ng dalam satu ciapan kepada Wan Ahmad Fayhsal berkata larangan kegiatan luar untuk mencegah Covid-19 adalah "tidak saintifik".

Wan Ahmad Fayhsal kemudian membalas ciapan itu dengan berkata: "Adakah anda mengatakan kaedah Kementerian Kesihatan tidak saintifik?"

Profesor penyakit berjangkit dan anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Adeeba Kamarulzaman pula berkata kegiatan senaman di luar adalah selamat ketika wabak.

"Risiko dijangkiti Covid-19 di kawasan luar (outdoor) adalah 18 kali lebih rendah daripada di tempat tertutup (indoor).

"Tolong benarkan rakyat terus berjoging, berbasikal, bermain bola sepak atau sukan lain di tempat terbuka demi kesihatan fizikal dan mental kita," katanya.

Bekas timbalan ketua pengarah Kementerian Kesihatan Dr Christopher Lee juga berkata kegiatan senaman di luar adalah agak selamat.

"Biarlah Sains menjadi panduan untuk keputusan kita. Selagi jarak fizikal diamalkan, risiko penyebaran di luar adalah rendah.

"Tidak ada kluster besar yang berkaitan dengan sukan yang tidak bersentuhan dan di tempat terbuka," katanya di Twitter.

PKP dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Kelantan, dan beberapa bahagian di Selangor, Johor, Perak, Terengganu, dan Kedah.

Ia selepas peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara. Terdapat 3,551 kes baru semalam, dengan kes aktif sebanyak 33,762.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS