Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu akan tewas jika Umno tanding semua kerusi - Dr M
Diterbitkan:  May 7, 2021 12:12 AM
Dikemaskini: 4:26 PM

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad menjangkakan Bersatu akan tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya Umno bertanding di semua kerusi tradisinya.

"Bila Mohamad (Hassan) kata Umno akan bertanding semua kerusi, saya kira kemungkinan besar Bersatu akan tewas bila Umno tidak bersama mereka," katanya dalam wawancara bersama portal berita Malaysiapost, malam ini.

Pada Mac lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memberi bayangan akan mempertahankan semua kerusi yang pernah ditandingi parti itu pada PRU lalu sekiranya Umno tidak mahu bertoleransi melepaskan kerusi berkenaan pada PRU15.

Terdahulu sebelum itu Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dilaporkan berkata bahawa semua kerusi Umno adalah milik parti itu dan tidak akan sesekali melepaskannya.

Mahathir berkata dia juga pernah menasihati pemimpin Bersatu kembali kepada asas perjuangannya kerana sedar parti itu akan tewas dalam PRU akan datang apabila Umno tidak lagi bersama mereka.

Namun katanya mereka enggan kerana sayangkan jawatan sebagai menteri dan timbalan menteri serta wang yang dinikmati hasil memegang jawatan dalam kerajaan.

"Saya kata dalam PRU akan datang kamu akan kalah, kerana Umno tak sokong kamu. Jadi lebih baik balik kepada asal.

"Tapi mereka jawab mereka menteri dan menteri gaji RM70,000 sebulan. Jadi kalau kita boleh bayar RM70,000 sebulan mereka kembalilah," kata Mahathir.

Mahathir bertindak meninggalkan Bersatu selepas presidennya, Muhyiddin Yassin itu membuat keputusan untuk keluar Pakatan Harapan (PH).

Keputusan Bersatu meninggalkan PH mengakibatkan kerajaan PH pimpinan Mahathir tumbang.

Pada Mac tahun lalu, Bersatu bersama BN, PAS, GPS dan parti dari Sabah membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, hubungan antara Umno dan Bersatu retak apabila kedua-dua parti tidak lagi sehaluan selepas membentuk kerajaan.

Selepas keluar Bersatu, Mahathir menubuhkan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang). Parti itu bergerak sendirian dan masih belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Bulan lalu, Presiden Penaja Pejuang, Mukhriz Mahathir berkata parti itu belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu bersendirian atau menyertai mana-mana gabungan pada PRU15.

Umno pecah 4 kumpulan

Dalam pada itu, Mahathir berkata Umno tidak akan mampu bergerak sendirian dalam menghadapi PRU akan datang kerana parti itu dilihat sudah berpecah kepada empat kumpulan.

“Umno sudah pecah dengan sebilangan yang tidak kecil sudah keluar menjadi ahli Bersatu, iaitu pecahan lagi adalah orang yang tolak bekas perdana menteri, Najib Razak tetapi sokong Presiden Umno ketika ini Ahmad Zahid Hamidi Zahid.

“Satu lagi pecahan yang sokong Najib dan pecahan mungkin menyokong pemimpin lain seperti Timbalan Presiden, Mohammad Hasan atau Hishammuddin Hussein,” katanya.

Oleh itu katanya, Umno tidak akan dapat menang besar dalam PRU-15 nanti jika bersendirian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS