Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jenaka lucah di parlimen bermula di bilik darjah, kata Ain

Pelajar perlu dididik bahawa jenaka rogol adalah salah dan sekiranya tidak, mereka akan bercakap seperti orang dewasa, kata pelajar sekolah menengah, Ain Husniza Saiful Nizam.

Ini katanya merupakan sebab mengapa kerajaan perlu menghentikan 'budaya rogol' agar tidak menjadi kebiasaan di sekolah.

Dia berkata demikian ketika forum dalam talian bersama Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan kartunis Zunar hari ini.

Terdahulu, Zunar berkata jenaka lucah bermula dari sekolah, malah dilakukan oleh wakil-wakil rakyat di parlimen sehingga menjadi satu kebiasaan.

"Dari di sekolah kita lihat lawak-lawak ini dibenarkan jadi normal.

"Akhirnya kita lihat di parlimen kita juga ada lawak-lawak macam itu. Ia sampai ke parlimen juga ada lawak-lawak ini dan kadang-kadang orang di parlimen ini juga tak menerima hukuman," kata Zunar.

Menurut Ain, keadaan itu menunjukkan kegagalan sistem pendidikan di negara ini.

"Sebab mereka tak faham benda tu adalah salah. Di situlah salah sistem pendidikan kita yang tak mengajar (perbuatan ini salah). Hanya fokus kepada bidang akademik dan tidak fokus kepada moral, adab dan akhlak pelajar kita," katanya.

Anwar yang bersetuju dengan pandangan tersebut berkata, parlimen sendiri tidak memandang serius jenaka-jenaka lucah yang dibuat oleh ahli-ahli parlimen.

"Parlimen tu bukan dia tak tahu, tetapi sistem itu mengizinkan. Lawak boleh lucah tak boleh. Gurau boleh hina orang tak boleh. Seloroh boleh menindas tidak boleh

"Tapi kalau dalam parlimen bila ada percakapan begitu, speaker pun kadang-kadang - bagi dia mungkin soal akhlak dan moral tidak penting," kata Anwar.

Tahun lalu, Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim membuat kenyataan berunsur perkauman dan seksis terhadap Ahli Parlimen Batu Kawan, Khasthuri Patto.

Speaker Azhar Azizan Harun dikritik kerana tidak membuat keputusan ketika kejadian itu berlaku. Dia kemudian mengarahkan Azeez untuk meminta maaf dan menarik balik kata-katanya.

Pada 2015, Azeez terpaksa menarik balik komen seksis yang dibuat di Dewan Rakyat mengenai kitaran haid wanita.

Pada 2016, timbalan menteri Tajuddin Abdul Rahman membandingkan nama Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dengan alat kelamin lelaki sebelum dikritik hebat atas kenyataan berunsur seksis itu.

Pad 2007, Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin dan Ahli Parlimen Jasin, Mohd Said Yusof membuat kenyataan seksis terhadap Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun tidak ada tindakan diambil setelah mereka meminta maaf dan menarik balik komen mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS