Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamzah sibuk buat apa, campur tangan dalam PDRM? - Mukhriz
Diterbitkan:  May 6, 2021 7:04 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Presiden penaja Pejuang, Mukhriz Mahathir membidas Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berhubung afidavitnya di mahkamah yang mengatakan terlalu sibuk untuk melayani rayuan pendaftaran parti itu.

"Dalam afidavitnya ke mahkamah Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin beri alasan dia terlalu sibuk untuk melayan rayuan pendaftaran Pejuang. Sibuk buat apa? Campur tangan dalam PDRM?

"PN (Perikatan Nasional) boleh pula lulus dalam masa dua minggu,”kata Mukhriz dalam catatan di Facebook hari ini.

Sebelum ini Hamzah dikaitkan dengan rakaman audio yang bocor mengenai perbincangan untuk menyusun pelantikan pegawai kanan polis, yang kemudian diakui sebagai suaranya.

Bekas ketua polis negara, Abdul Hamid Bador turut mendakwa Hamzah cuba menggunakan Cawangan Khas  untuk kepentingan karier politiknya.

Bagaimanapun Hamzah menafikan penglibatannya dalam urusan campur tangan pertukaran pegawai kanan polis.

Pejuang sebelum ini telah mengemukakan semakan kehakiman untuk memaksa Hamzah dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selaku responden untuk membuat keputusan mengenai rayuan pendaftaran parti itu.

Parti berasaskan Melayu itu ditubuhkan pada Ogos tahun lalu setelah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan kumpulannya meninggalkan Bersatu.

Selain Mahathir dan Mukhriz, anggota pengasas lain adalah senator Marzuki Yahaya; Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh serta Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik yang kemudiannya meninggalkan parti itu.

'Pejuang tak diluluskan kerana ancaman terhadap Bersatu'

"Sebenarnya menteri tak mahu lulus Pejuang kerana Pejuang merupakan ancaman terbesar kepada Bersatu di mana menteri juga Setiausaha Agung Bersatu.

"Itulah demokrasi di zaman PN ini," sambung Mukhriz dalam catatannya hari ini.

Muhkriz juga melampirkan afidavit Hamzah, yang mengatakan tempoh masa yang munasabah wajar diberikan kepadanya untuk mempertimbangkan dan membuat keputusan mengenai rayuan Pejuang.

Dalam afidavit itu Hamzah berkata, dia menerima rayuan Pejuang pada 8 Januari 2021.

Bagaimanapun dia dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 dari 12 hingga 24 Januari 2021 serta diarahkan menjalani kuarantin di rumah sehingga 1 Februari.

Hamzah berkata dia menerima kertas rayuan daripada Pejuang dan perlembagaan parti itu pada 22 Februari, yang memerlukannya membuat keputusan dengan teliti.

Pada ketika ini, katanya, terdapat 102 rayuan yang dibuat oleh pelbagai pertubuhan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 yang perlu ditelitinya.

Ini termasuk rayuan Pejuang, yang menurutnya berada di turutan nombor 90 dalam senarai rayuan berkenaan.

Selain rayuan di bawah Akta Pertubuhan, Hamzah juga berkata dia bertanggungjawab untuk menjalankan fungsi dan mempertimbangkan rayuan di bawah akta-akta lain yang diperuntukkan di bawah bidang kuasanya.

Hamzah juga berkata pada masa ini dia perlu menjalankan fungsi sebagai menteri dalam negeri di bawah 47 akta yang lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS