Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak berkaitan satu lagi dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang menyaksikan bekas Perdana Menteri itu berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta telah ditangguhkan sehingga Ogos tahun ini.
Peguamnya Nur Syahirah Hanapiah ketika dihubungi berkata tarikh perbicaraan yang ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan pada Julai tahun ini telah dilapangkan namun tarikh perbicaraan dari 2 hingga 5 Ogos dan 9 hingga 10 Ogos dikekalkan.
“Mahkamah turut menetapkan tarikh tambahan bagi perbicaraan itu pada Mac tahun depan iaitu dari 7 hingga 10 dan 28 hingga 31 serta pada April dari 11 hingga 14 dan 25 hingga 28,” katanya selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas hari ini.
Pada asalnya, perbicaraan ditetapkan pada Julai tahun ini iaitu dari 5 hingga 8; 12 hingga 15 dan 26 hingga 29.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi mengesahkan bahawa tarikh perbicaraan pada Ogos dikekalkan dan berkata mahkamah telah menetapkan 16 Julai untuk satu lagi pengurusan kes.
Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang mana beliau didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.
Najib didakwa melakukan kesalahan terbabit di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014, menurut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beliau sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen namun kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 13 Mac 2019 susulan permohonan pihak pendakwaan.
Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati Ahli Parlimen Pekan itu bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.
Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan Mahkamah Rayuan menetapkan 18 Mei untuk meneruskan pendengaran bagi kes tersebut.
- Bernama