Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno bakal sambut ulang tahun ke-75 secara sederhana, patuh SOP
Diterbitkan:  May 6, 2021 3:42 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Umno bakal menyambut ulang tahun ke-75 secara sederhana pada 11 Mei ini, di tengah-tengah penularan wabak Covid-19 yang kian memburuk di negara ini.

Setiausaha Agungnya Ahmad Maslan dalam kenyataan menggesa semua bahagian Umno mengadakan sambutan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Usia 75 tahun menandakan pencapaian tempoh jubli intan dalam perjuangan yang panjang. Umno kini mempunyai 21,135 cawangan, 191 Umno bahagian di 13 negeri dengan keahlian 3.3 juta orang. Umno kekal sebagai parti politik terbesar di negara Malaysia.

"Adalah diharapkan agar 191 Umno bahagian di seluruh negara mengadakan sambutan secara sederhana mengikut garis panduan SOP memerangi Covid-19," katanya dalam hari ini.

Ahmad Maslan

Ahmad turut memaklumkan Majlis Tertinggi (MT) Umno bersetuju untuk mengadakan sambutan di setiap negeri pada bulan Mei dan Jun, tertakluk kepada SOP.

Umno yang sekian lama merupakan parti dominan dalam kerajaan tewas dalam PRU Ke-14 dan menjadi pembangkang buat pertama kali dalam sejarah politik negara.

Bagaimanapun parti itu kembali menyertai kerajaan menerusi Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin selepas PH tumbang.

Sementara itu, Ahmad dalam kenyataan itu meminta pemimpin parti itu menaikkan bendera parti di pejabat Umno negeri, bahagian ataupun di mana-mana lokasi yang sesuai, selain mengadakan acara bacaan Yasin dan doa selamat.

"Sempena Ramadan dan Syawal pula, adalah disyorkan Umno bahagian terus melakukan program ziarah kasih dan membantu mereka yang memerlukan di kawasan masing-masing," katanya lagi.

Dengan mengambil kira peningkatan kes Covid-19, perintah kawalan pergerakan (PKP) kembali dikuatkuasakan di tujuh daerah di Kelantan akhir bulan lalu dan enam daerah di Selangor hari ini.

Perintah itu juga akan dikuat kuasa di seluruh Kuala Lumpur dan beberapa daerah serta mukim di Johor, Perak dan Terengganu bermula esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS