Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mara selesai siasat isu pemeriksaan haid di sekolah

Siasatan terhadap amalan pemeriksaan haid terhadap pelajar perempuan di institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) sudah selesai, kata pengerusinya Azizah Mohd Dun.

Azizah berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu tidak lama lagi.

“Siasatan sudah selesai dan (Mara) akan berikan kenyataan secepatnya,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pada 22 April lalu, Azizah memaklumkan Mara sedang menyiasat perkara itu, susulan laporan Malaysiakini berhubung amalan itu yang dikatakan sudah berlaku sejak 20 tahun lalu.

Pelajar dan bekas pelajar yang bercakap dengan Malaysiakini memberitahu tentang amalan tersebut, yang antaranya melibatkan guru, warden asrama atau pengawas yang meminta pelajar menunjukkan kesan darah pada tuala wanita, melakukan calitan pada kemaluan dengan kapas, tisu atau jari untuk membuktikan mereka tidak boleh menyertai sembahyang jemaah.

Azizah Mohd Dun

Malaysiakini dimaklumkan bahawa amalan seumpama ini kebanyakannya berlaku di sekolah berasrama penuh namun ada juga kes yang terjadi di sekolah harian dan sekolah agama persendirian.

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor kemudian menyifatkan amalan sedemikian sebagai tidak wajar dan berkata setiap orang mempunyai maruah yang wajib dihormati, termasuk hak menutup bahagian sulit daripada dilihat oleh orang lain.

Selain itu, beberapa NGO hak wanita turut mengeluarkan kenyataan bersama mengecam tindakan itu dan menggesa Mara dan Kementerian Pendidikan memberikan jawapan.

Pada 4 Mei lalu, Malaysiakini telah mengemukakan nama sekolah yang didakwa berlakunya amalan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS