Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKP: Lima bazar Ramadan di stesen LRT ditutup
Diterbitkan:  May 6, 2021 1:09 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Lima bazar Ramadan Rapid KL di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Selangor akan ditutup mulai Sabtu ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di negeri itu.

Menurut kenyataan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini, bazar yang terlibat ialah di stesen LRT Kelana Jaya, Glenmarie, Pandan Indah, Cempaka dan Putra Heights yang mula beroperasi pada 13 April lepas.

"Bagaimanapun, operasi bazar di stesen LRT Cempaka telah ditutup lebih awal pada 1 Mei selepas lokasi berkenaan tersenarai dalam kawasan berisiko tinggi menerusi laporan yang dikeluarkan oleh Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE)," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun menurut Prasarana, bazar Ramadan di Stesen LRT Damai yang terletak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan beroperasi seperti biasa.

“Prasarana ingin mengucapkan terima kasih kepada pengunjung dan peniaga yang memberikan sokongan atas inisiatif ini walaupun terpaksa mengharungi cabaran wabak Covid-19,” demikian menurut kenyataan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS