Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AS sokong ketepi sementara hak paten vaksin Covid-19
Diterbitkan:  May 6, 2021 10:32 AM
Dikemaskini: 2:36 AM

GLOBAL | Presiden Amerika (AS) Syarikat Joe Biden dilaporkan menyuarakan sokongan terhadap cadangan mengetepikan sementara hak harta intelek vaksin Covid-19, bagi meningkatkan akses terhadap vaksin itu di seluruh dunia.

Menurut Reuters, sokongan itu disuarakan semalam susulan tekanan daripada wakil rakyat Parti Demokrat dan lebih 100 negara.

Bagaimanapun ia mencetuskan bantahan syarikat farmaseutikal. Dua syarikat vaksin terbesar dunia berpangkalan di negara itu, iaitu Moderna Inc dan Pfizer Inc.

Sokongan itu disusuli kenyataan rasmi daripada Wakil Perdagangan AS Katherine Tai, yang menyifatkan kaedah luar kebiasaan diperlukan bagi mengatasi pandemik global itu.

Reuters juga memetik sumber yang berkata sebelum pengumuman tersebut, ia sudah pun dimaklumkan kepada syarikat-syarikat farmaseutikal, yang mencatatkan keuntungan yang meningkat susulan wabak Covid-19.

Terdahulu, pentabdiran AS menerima menerima deakan agar mengongsikan bekalan dan teknologi vaksin negara itu dalam usaha melawan wabak di negara-negara lain.

Keputusan itu di tengah-tengah peningkatan penularan di India, di mana 46 peratus daripada kes baru seluruh dunia pada minggu lalu dilaporkan daripada negara itu.

Bagaimanapun Tai memberi peringatan bahawa rundingan ke arah rancangan pengenepian itu akan mengambil masa, kerana ia memerlukan konsensus kesemua 164 anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

AS dan beberapa negara lain sebelum ini menghalang rundingan di WTO berhubung syor yang dibuat India dan Afrika Selatan agar sejumlah paten dan teknologi vaksin diketepikan buat sementara, bagi meningkatkan penghasilan vaksin di negara membangun.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS