Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'MKTB macam bincang nak ubah suai rumah ketika ia marak terbakar'
Diterbitkan:  May 5, 2021 5:59 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil menempelak langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Isham berkata banyak yang tidak kena dengan penubuhan MTKB tersebut yang membincangkan dasar jangka panjang.

Katanya, ketika negara menghadapi krisis ekonomi dan kesihatan, kerajaan sepatutnya memastikan keadaan tidak menjadi semakin buruk dengan memfokuskan sumber yang ada termasuk kepakaran, kewangan dan masa bagi tujuan itu.

"Usaha-usaha dan inisiatif jangka panjang boleh diteruskan di peringkat pengurusan pertengahan ke bawah tetapi tidak seharusnya menjadi keutamaan perdana menteri atau kabinet semasa krisis, tambahan lagi di kala darurat masih berkuatkuasa," katanya dalam kenyataan.

Ujarnya langkah melantik 21 menteri dan perdana menteri untuk mempengerusikan jawatankuasa bagi membincangkan dasar untuk 9 tahun akan datang ketika negara menghadapi krisis bukanlah suatu yang bijak.

"Ia adalah sesuatu yang dangkal dan membazirkan sumber, malah meningkatkan risiko kepada rakyat yang terdedah kepada kesan krisis-krisis ini dan membahayakan nyawa rakyat iaitu apabila kerajaan tidak fokus atau tidak tahu apa yang mereka (kerajaan) buat.

"Ia umpama memanggil mesyuarat keluarga untuk merancang renovation rumah untuk tahun depan di kala rumah sedang marak terbakar. Ini tidak masuk akal langsung," katanya.

Kedua, kata Isham, jawatankuasa ini terdiri daripada orang-orang lama yang dipanggil semula, tetapi tidak ramai orang muda atau belia di dalamnya.

Selain itu katanya, di parlimen telah ada banyak jawatankuasa yang boleh diaktifkan untuk menangani krisis mahupun membantu merangka dasar jangka pendek, sederhana atau panjang jika perlu.

MTKB ditubuhkan semalam dengan dipengerusikan Muhyiddin yang dikatakan berperanan untuk menentukan dasar dan strategi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Ini termasuk menetapkan sasaran, indikator makro dan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi sektor-sektor penting dalam pembangunan negara yang akan dirangka secara inklusif dan menyeluruh bagi mencapai objektif WKB 2030.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, keahlian MTKB terdiri daripada 21 orang menteri, empat ketua jabatan, dua ketua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), tiga wakil Dewan Perniagaan Melayu, Cina dan India serta tokoh-tokoh dalam pelbagai sektor ekonomi, pendidikan dan sosial.

Mesyuarat pertamanya telah diadakan pada 4 Mei lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS