mk-logo
Berita
Pemuda Umno lapor polis pendedahan Hamid Bador
Diterbitkan:  May 5, 2021 5:00 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Pemuda Umno hari ini memaklumkan pergerakan itu telah membuat laporan polis terhadap pendedahan yang dibuat bekas ketua polis negara, Abdul Hamid Bador mengenai kegiatan budaya rasuah dalam amalan lompat parti dan campur tangan yang serius dalam insitusi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi tujuan politik.

Ketuanya, Asyraf Wajdi berkata ini kerana dakwaan-dakwaan yang didedahkan oleh Hamid itu adalah amat serius.

Malah, kata Asyraf dakwaan tersebut juga bukan sahaja dibuat oleh bekas kepimpinan tertinggi agensi keselamatan negara, bahkan melibatkan aspek integriti kepimpinan kerajaan dan kedaulatan negara.

"Pemuda Umno mahu kertas siasatan untuk segera dibuka dan keterlibatan agensi-agensi lain terutamanya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dan memanggil bekas ketua polis negara bagi menyelamatkan negara daripada berterusan dipersepsikan dengan imej kebankrapan integriti sehingga menjejaskan keyakinan rakyat dan kepercayaan pelabur," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Ketika sidang media terakhirnya sebagai IGP pada 30 April lalu, Abdul Hamid mendedahkan terdapat orang politik - atau menteri - mencampuri urusan dalaman PDRM.

Antara dakwaan dibuat Abdul Hamid ialah cubaan mereka mengatur pelantikan pegawai-pegawai kanan dalam pasukan keselamatan terbabit.

Hal tersebut, katanya, sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu. 

Untuk rekod menteri yang dimaksudkan Abdul Hamid mencampuri urusan PDRM ialah Hamzah Zainudin.

Hamzah merupakan menteri dalam negeri merangkap setiausaha agung Bersatu.

Bekas pengarah Cawangan Khas Bukit Aman itu kemudian mencadangkan supaya Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) diketuai oleh tokoh yang bebas dan tidak ada kepentingan seperti hakim atau bekas hakim.

Mengikut Perkara 140(3) Perlembagaan Persekutuan, SPP perlu dipengerusikan oleh menteri yang bertanggungjawab ke atas PDRM, iaitu menteri dalam negeri.

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, Hamid menegaskan dia sedia memberi kerjasama dan dirakam keterangan jika pendedahannya sebelum ini mengenai campur tangan menteri dalam Cawangan Khas (SB) Bukit Aman disiasat.

Kata Hamid, apa pun berlaku hasratnya adalah untuk menghalang perancangan menguasai jabatan berkenaan bagi tujuan politik.

“Saya tengok perkembangan. Kalau nak saya datang beri keterangan, saya datanglah, dan pada saya biarlah kepimpinan Bukit Aman siasat, nak tentukan kes jenayah ke terpulang kepada mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Hamid berkata, tidak menjadi masalah bagi dia sekiranya pihak berkuasa memanggil untuk membantu siasatan.

“Apa pun saya nak halang perancangan menguasai Cawangan Khas untuk digunakan bagi kepentingan politik, (sebab) itulah saya dedahkan,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS