Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah putuskan penahanan lelaki Singapura tak sah
Diterbitkan:  May 5, 2021 11:52 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penahanan selama 13 hari seorang warga Singapura oleh Jabatan Imigresen pada 2018 lalu sebagai tidak sah.

Dalam ketetapan itu hakim Noorin Badaruddin semalam membenarkan warga emas terbabit Wong Chun Khuen mengambil tindakan undang-undang ke atas Jabatan Imigresen Johor susulan penahanannya antara 14 Mac hingga 26 Mac 2018.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini peguam Arun Kasi berkata, Wong sepatutnya diadili secara sah di hadapan mahkamah majistret 13 Mac tahun itu kerana Perkara 5 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan warga asing yang ditahan mengikut undang-undang imigresen harus dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh 14 hari setelah ditangkap.

Peguam juga menyatakan, mahkamah hari ini tidak bersetuju dengan dakwaan Jabatan Imigresen mendakwa Wong dihadapkan ke mahkamah majistret pada 12 Mac dan 26 Mac 2018.

Arun juga menambah, mahkamah juga mendapati berlaku pelanggaran hak ke atas Wong, 63, kerana dia jurutera kanan yang sudah pencen itu sepatutnya dibawa ke mahkamah dalam tempoh yang ditetapkan.

Peguam itu turut menyatakan bahawa anak guamnya hanya dihadapkan di mahkamah majistret pada 26 Mac.

“Mahkamah mendapati Wong tidak dihadapkan seperti yang didakwa Jabatan Imigresen.

“Mahkamah juga menetapkan bahawa Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan dilanggar Wong tidak dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh 14 hari penahanan.

"Wong hanya dihadapkan ke mahkamah pada 26 Mac 2018. Dia kemudian dibebaskan pada 2018.

“Semalam (semasa perbicaraan), isunya adalah jika berlaku penahanan lebih lama daripada yang dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan, dan ia dijawab dengan tegas oleh mahkamah tinggi," katanya.

Peguam turut menambah, Wong - yang kini berada di Singapura bersama anak dan isterinya - berpuas hati dengan keputusan itu.

Mengulas berhubung adakah kerajaan Singapura akan menggunakan keputusah mahkamah itu untuk mengenakan tindakan undang-undang lain, Arun berkata dia masih tidak menerima arahan daripada anak guamnya.

Tindakan undang-undang itu difailkan Wong di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jan tahun lalu.

Berdasarkan laporan afidavit yang dilihat Malaysiakini, defendan - Jabatan Imigresen Johor- menyerbu rumah Wong di Johor Bahru kira-kira jam 11.05 pm pada 28 Feb 2018.

Pegawai jabatan itu kemudian menahan Wong bersama beberapa lagi warga asing yang ada dalam rumah tersebut. Dia terus dibawa ke Pusat Tahanan Setia Tropika pada 1 Mac 2018 dan dua hari selepas itu, dia ke Pusat Tahanan Pekan Nanas.

Wong kemudian dihadapkan ke mahkamah majistret pada 26 Mac tahun sama dan dia mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen. Wong kemudian didenda RM30,000 dan ia membayarnya sebelum dia dibebaskan kemudian.

“Sejak tarikh penahanan pada 28 Feb 2018 sehingga 26 Mac 2018 (selama 29 hari), saya tidak pernah dihadapkan ke mahkamah majistret namun hanya dihadapkan pada 26 Mac 2018,” katanya menerusi afidavit berkenaan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS