Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelanggan bersesak di gerai walau tiada bazar Ramadan di Kelantan

TINJAUAN | Masuk hari ke-19 pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kelantan dan ketiadaan bazar Ramadan nampaknya tidak memberi jaminan bahawa masyarakatnya mengambil tanggungjawab yang tegas dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Usaha kerajaan negeri melarang operasi bazar Ramadan seolah-olah tidak memberi impak besar. 

Ini selepas peniaga mengambil peluang membuka gerai jualan di tepi-tepi jalan sekali gus mengajak orang ramai berkerumun dan mewujudkan kesesakan.

Apatah lagi gerai dibuka secara berderetan di kawasan-kawasan yang terhad dan turut menyebabkan kesesakan lalu-lintas.

Tinjauan Malaysiakini di beberapa lokasi sekitar Kota Bharu menyaksikan orang ramai tetap memilih untuk bersesak-sesak bagi membeli juadah berbuka puasa di gerai-gerai terbabit.

Orang ramai dilihat masih sukar mengawal diri agar benar-benar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika membeli juadah berbuka puasa di gerai-gerai tepi jalan.

Berdasarkan pemerhatian, antara lain menunjukkan keadaan pelanggan tidak beratur dan mengabaikan penjarakan fizikal ketika mahu membuat pembelian.

Seorang peniaga makanan panas yang mahu dikenali sebagai Saleha, 36, berkata berdepan dengan ramai pelanggan adalah satu cabaran yang besar bagi peniaga.

"Peniaga sudah meletakkan tanda isyarat supaya menjarakkan diri satu meter dan menyuruh pelanggan membuat penjarakan, tapi, ada sesetengah yang tidak menghiraukannya.

"Saya sebagai peniaga, kadang-kadang tak mampu berbuat apa-apa," katanya ketika kepada Malaysiakini di Kota Bharu, semalam.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin melahirkan rasa kesal kerana mendapati masyarakat di negeri itu masih memilih untuk ‘bergelewak' (bersesak-sesak) di gerai-gerai juadah berbuka puasa. 

Sebagai rekod, PKP bermula 16 April sehingga 29 April dan terbaru akan dilanjutkan sehingga 17 Mei 2021 dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, tinjauan juga mendapati ada segelintir orang ramai yang berkunjung ke gerai-gerai untuk membeli makanan tidak memeriksa suhu walaupun termometer sudah disediakan.

Seorang peniaga ayam bakar yang mahu dikenali sebagai Husin, 48, berkata dia sudah menyediakan termometer untuk pelanggan menyukat suhu badan secara sendiri, tetapi ada segelintir tidak mematuhi SOP yang ditetapkan itu.

"Ramai yang memeriksa suhu dan scan MySejahtera sebelum membeli, tapi ada segelinitir yang terus membeli tanpa berbuat sedemikian.

"Saya sudah sediakan termometer di atas meja untuk digunakan. Sepatutnya, pelanggan sudah tahu SOP sekarang, tapi ada juga kadang-kadang yang ingkar," jelasnya.

Selain itu, masih terdapat gerai-gerai jualan yang masih tidak menyediakan imbasan QR mySejahtera serta buku tulis untuk mencatat nama dan nombor telefon pengunjung di kedai mereka.

Dalam pada itu, penggunaan pelitup mulut dan hidung dilihat dipatuhi peniaga dan pengunjung namun terdapat juga segelintir yang memakainya di bawah paras hidung sahaja tanpa mengamalkan pemakaian yang sepatutnya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Pengarah JKNK Dr Zaini Hussin berkata berdasarkan laporan yang diterima, terdapat pertambahan kes dalam komuniti sekali gus menunjukkan Covid-19 kini sudah berada dalam kalangan masyarakat dan boleh menjangkiti orang lain. 

"Keadaan ini hanya boleh diatasi sekiranya masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan dan sentiasa peka yang kita sebenarnya berhadapan dengan pandemik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS