Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengurus syarikat dipenjara 3 tahun dan sebat kerana tipu urusan jual kereta

Seorang pengurus di sebuah syarikat jual beli kereta dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini kerana menipu seorang ahli peniagaan berhubung urusan penjualan kereta membabitkan kerugian RM257,900.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menjatuhkan hukuman ke atas Azri Asyraf Wahid, 33, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas tiga pertuduhan pada sebutan kes hari ini dan memerintahkan hukuman penjara tiga tahun dengan satu sebatan bagi setiap pertuduhan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 17 Mac lepas.

Mengikut kesemua pertuduhan, Azri Asyraf didakwa menipu Leong Meng Loon, 34, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh merupakan pengarah Syarikat G-Mart Autoworld Sdn Bhd bagi urusan penjualan tiga kereta sedangkan tertuduh mengetahui bahawa kereta itu tidak wujud dan tidak dapat dijual.

Perbuatan itu mendorong mangsa memindahkan wang berjumlah RM257,900 ke dalam akaun bank milik tertuduh di mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Syarikat Oncar Sdn Bhd di Batu 4 Jalan Klang Lama, Brickfields di Kuala Lumpur pada 4.31 petang dan 5.24 petang, 5 dan 6 Feb lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin memohon hukuman berbentuk pengajaran mengambil kira kerugian dialami mangsa selain memberi peringatan kepada masyarakat supaya tidak terlibat dalam jenayah penipuan namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia penanggung tunggal keluarga.

Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS