Lima anak muda Sarawak memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuching dengan tujuan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang Julai tahun ini.
Menerusi sidang media dalam talian hari ini, kumpulan "Undi Sarawak" berkata penangguhan penurunan usia layak mengundi akan menafikan hak lebih 125,000 belia di negeri itu untuk mengundi dalam PRN Sarawak yang perlu diadakan selewat-lewatnya 7 Ogos.
"Kami juga mengambil maklum kenyataan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Takiyuddin Hassan pada 29 April, serta kenyataan berikutnya pada 2 Mei mengenai pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Undi18.
"Walaupun kami menyambut baik komitmen kabinet untuk melaksanakan penurunan usia mengundi menjelang Julai 2021, belum diketahui jika ada rancangan tindakan dan garis masa yang telah ditetapkan ke arah itu.
“Undi Sarawak berpegang teguh pada kepercayaan kami bahawa belia berusia antara 18 hingga 20 tahun ada hak perlembagaan untuk mengundi. Lebih-lebih lagi kepada kira-kira 125,000 hingga 135,000 rakyat Sarawak berusia 18 hingga 20 tahun, kerana PRN Sarawak harus diadakan pada 7 Ogos sebaik sahaja tempoh darurat berakhir pada awal Ogos.
"Oleh itu, RUU Undi18 harus dilaksanakan menjelang Julai 2021 untuk memastikan anak muda Sarawak dapat menjalankan hak mereka sebagai pengundi kali pertama semasa PRN akan datang," kata Ivan Alexander Ong, yang merupakan jurucakap kumpulan itu.
Pada 25 Mac, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan untuk menangguhkan pelaksanaan Undi18, termasuk pendaftaran pemilih secara automatik hingga 1 September tahun depan.
Keputusan itu bermaksud warga berusia 18 hingga 20 tahun mungkin tidak akan dapat mengundi PRU berikutnya, yang dijangka diadakan sebaik sahaja darurat tamat pada bulan Ogos.
Berikutan itu, sekumpulan 18 golongan muda, yang mewakili gerakan Undi18, memfailkan semakan kehakiman pada April terhadap perdana menteri, kerajaan dan SPR.
Sementara itu, peguam Simon Siah dari Lawyers Kamek for Change, yang mewakili kumpulan Undi Sarawak berkata semakan kehakiman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuching semalam.
Mereka percaya bahawa satu keputusan dapat diputuskan sebelum pilihan raya negeri Sarawak diadakan.