Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Enam daerah Selangor kena PKP: Tak dibenar rentas daerah, negeri
Diterbitkan:  May 4, 2021 5:34 PM
Dikemaskini: 12:55 PM

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob memaklumkan enam daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini bermula 6 ke 17 Mei.

Pergerakan merentas negeri dan daerah tidak dibenarkan di enam daerah dikenakan PKP di Selangor, maklum Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yakob.

Pun begitu, dia berkata pengecualian rentas daerah dan negeri di kawasan PKP ini dibenarkan untuk kes kecemasan seperti kes kematian. 

"Menteri Besar (Amirudin Shari) dan MKN Selangor telah membentangkan cadangan kepada (Majlis Keselamatan Negara) MKN untuk laksanakan PKP," katanya pada sidang media harian Covid-19 hari ini.

Jelas Ismail Sabri, pelaksanaan PKP ini selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan.

"Maka MKN setuju laksana PKP atas 6 dari 9 daerah di Selangor; Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang mula pada 6 ke 17 Mei," katanya lagi.

Menjelaskan lanjut, Ismail berkata kegiatan ekonomi masih dibenarkan di daerah ini, yang akan dikawal pergerakan dari 7 Mei hingga 17 Mei.

"Kegiatan sosial tidak dibenarkan," katanya.

Keputusan pelaksanaan PKP ini, kata Ismail dibuat setelah mengambil kira peningkatan mendadak kes positif Cobid-19 dengan Selangor mencatatkan jumlah kes harian tinggi sejak 20 April sehingga 4 Mei.

Ismail Sabri berkata bazar Ramadan di kawasan PKP masih dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan atau menutup operasi bazar adalah tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Jelasnya lagi, SOP lanjut berhubung PKP di enam daerah ini boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my.

Tiga daerah selebihnya - Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor - akan terus diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Kuala Lumpur tidak terpengaruh dengan pengumuman terbaru mengenai PKP ini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS