Bagi mengharga pengorbanan seorang guru yang mendidik anak-anak mereka, ibu bapa dari kawasan pedalaman Sarawak mencalonkan seorang guru bahasa Inggeris bagi Rise Educator Award 2021.
Mereka malah membuat perjalanan yang memakan masa beberapa jam ke pekan berdekatan untuk membuat pencalonan itu.
Atas usaha itu, Muhammad Nazmi Rosli, 28, yang pernah mengajar di SK Long Sukang di Lawas selama empat tahun, tercalon sebagai 10 finalis pendidik bagi anugerah anjuran Taylor’s College, baru-baru ini.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Nazmi berkata dia tidak tahu tentang pencalonan itu sehinggalah diberitahu rakannya.
“Saya amat terharu kerana mereka (ibu bapa) yang tinggal di kawasan pedalaman di Sarawak sanggup bersusah payah pergi ke pekan terdekat yang mengambil masa tiga ke empat jam bagi mendapatkan jaringan internet untuk mencalonkan saya,” luah Nazmi dalam ciapannya di Twitter.
Rise Educator Award adalah anugerah untuk mengiktiraf dan menghargai kalangan pendidik dalam menyampaikan ilmu dan berbakti kepada masyarakat.
Calon yang mendapat paling banyak tanda suka di Facebook akan diisytihar sebagai pemang.
Dia akan menerima hadiah wang sebanyak RM2,000, manakala individu yang mencalonkannya akan mendapat RM500.
Menurut Nazmi, namaya dicalonkan oleh seorang ibu kepada murid di sekolah lamanya di Kampung Long Sukang di Lawas, Sarawak.
Dalam poster pencalonannya, wanita itu, Jenny Bulan Gelawat berkongsi beberapa pelbagai usaha Nazmi kepada murid dan juga penduduk kampung.
“Anak-anak kami tak pernah ke kolam renang, Cikgu Nazmi buatkan untuk mereka dari 200 keping plastik sampah," katanya.
Menurut Jenny, Nazmi sentiasa berusaha memberi pengalaman kepada murid melangkaui persekitaran pedalaman mereka.
“Anak kami tak pernah ke kedai dobi, Cikgu Nazmi ubah kelas menjadi dobi.
“Anak kami tak pernah menaiki keretapi, Cikgu Nazmi buatkan satu menggunakan tiang katil," katanya.
Jenny juga membangkitkan usaha Nazmi untuk menghantar bahan pembelajaran ke kampung mereka dengan "berpanas berhujan" menaiki ruang belakang Hilux sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Bawa dunia luar ke dalam kelas
Ditanya tentang cabaran mengajar di kawasan pedalaman, Nazmi berkata kebanyakan murid kurang terdedah dengan cara hidup dunia luar dan agak terkebelakang dari aspek pembelajaran berbanding murid di bandar.
Selain itu, dia juga memaklumkan tentang kesukaran untuk mengajar atas kekangan kemudahan seperti tiada elektrik dan tiada jaringan internet.
“Antara kaedah yang saya gunakan adalah bawa dunia luar ke dalam bilik darjah.”
Ia termasuklah menggunakan semula bahan buangan seperti kusyen kereta lama, botol plastik, kotak dan plastik sebagai alat bantu mengajar, menggantikan gambar dan video.
Bagi Nazmi, semuanya demi memberi peluang kepada murid-muridnya merasa pengalaman ketika berada dalam situasi yang tidak pernah mereka alami.
"(Apabila sediakan persekitaran kedai dobi), pelajar tahu etika yang perlu dipatuhi ketika di sana seperti perlu beratur, dan apa yang perlu dibuat jika terambil baju orang lain, dan apa yang tak boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh," kongsinya.
Baru saja dipindah ke SK Luagan di pedalaman Sabah, Nazmi menyuarakan penghargaan kepada ibu bapa di Kampung Long Sukang yang memberi sokongan dan kepercayaan kepadanya untuk mengajar anak-anak mereka.
"Saya doakan yang terbaik untuk semua penduduk Kampung Long Sukang - pelajar, ibu bapa dan seluruh komuniti," katanya lagi.