Walaupun ketiadaan bazar Ramadan pada tahun ini, kerajaan Kelantan mendapati masyarakat di negeri itu masih memilih untuk 'bergelewak' (bersesak-sesak) di kawasan umum.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin melahirkan rasa kesal susulan tinjauan dilakukan pihaknya membabitkan lokasi di gerai-gerai juadah berbuka puasa di negeri itu.
"Saya minta maaflah, tapi saya buat rondaan bersama penguat kuasa terutama di gerai-gerai jualan tepi jalan, dah jadi macam bazar (Ramadan).
"Kita tengok bagaimana dua pihak, sama ada peniaga mahupun pengunjung tidak mematuhi SOP.
"Penjarakan sosial disarankan WHO dua meter, kita buat satu meter. Tapi orang kita adjust lagi jadi 0.5 meter," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim Kota Bharu, semalam.
Keadaan itu katanya bertambah buruk apabila pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tidak dilakukan dengan cara yang betul.
"Pelitup hidung dan mulut dipakai pada dagu (di kalangan peniaga dan pengunjung), kemudian berbual-bual pula. Jadi pakat wujudkan keadaan sesak, jadi bergelewak.
"Sebab itu saya katakan, kerana suka berjalan-jalan dan gelewak inilah menjadi salah satu punca penyebaran wabak ini," jelasnya dengan nada kesal.
Sementara itu Izani menegaskan semua lapisan masyarakat termasuk golongan kenamaan (VIP) perlu mengambil tanggungjawab dalam usaha mengekang wabak Covid-19 di Kelantan.
Katanya, dalam keadaan sekarang sikap tuding-menuding jari bagi menyalahkan orang lain adalah amat tidak wajar.
"Sebaliknya dalam keadaan sekarang kita harap seluruh masyarakat termasuk golongan kenamaan (VIP) jika tiada keperluan penting, jangan ke mana-mana. Semua orang perlu bertanggungjawab, tak perlu menuding jari kepada sesiapa, sebaliknya tuding jari kepada diri kita sendiri.
"Perlukah kita keluar (rumah) hari ini, perlu ke kita berada di sesuatu tempat ketika ini? Seruan saya ini kepada semua. Tak timbul dah soal rakyat marhaen saja kena patuh, orang lain tidak.
"Saya menyeru kepada semua orang supaya tidak menyalah mana-mana pihak, tetapi kita cuba membantu dan bagi kerjasama, supaya kita tidak menjadi salah seorang yang menyebar virus ini," katanya yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Kijang.