Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Isu berkaitan penggunaan perkataan “Tuhan” (huruf besar) dan “tuhan” (huruf kecil) dalam penulisan karya kreatif sedang hangat diperdebatkan antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kumpulan penulis tanah air, seperti diungkit oleh Uthaya Sankar SB menerusi ulasan bertajuk “Tuhan juga milik eksklusif orang Islam?” (Malaysiakini, 16 April 2021)

Sebagai seorang pelajar yang mendapat pendidikan penuh dari sekolah kebangsaan sejak sekolah rendah sehingga menengah, dan juga seorang yang aktif menulis karya kreatif sejak di peringkat sekolah rendah, saya melihat isu ini dari tiga aspek yang berbeza iaitu aspek pendidikan, penulisan kreatif dan kepercayaan atau agama. Tiga aspek ini adalah asas yang dijadikan panduan dalam penulisan saya, mahupun pertandingan penulisan yang dianjurkan pelbagai pihak di pelbagai peringkat termasuk DBP.

Berkaitan: DBP jawab persoalan istilah 'Tuhan'

Di alam persekolahan, yakni pendidikan formal di negara kita, sesungguhnya ditegaskan bahawa setiap kata nama khas itu perlu menggunakan huruf besar di awal ejaan. Ini adalah jelas termasuk ejaan perkataan “Tuhan” yang merupakan kata nama khas yang amat nyata dan tidak mungkin disalahertikan oleh semua pelajar termasuk anak–anak di bangku tadika. Justeru, perlukah satu ketika nanti akan wujudnya kertas soalan dan jawapan yang berbeza untuk pelajar mengikut agama masing–masing? Atau perlukah setiap pelajar mengisi agama masing–masing pada kertas jawapan peperiksaan mereka? Ini semua hanya kerana mereka menganut agama yang berbeza dan tidak mempunyai hak kesamarataan dalam mempratikan hasil pembelajaran mereka dan risikonya adalah gagal dalam peperiksaan yang merupakan permulaan masa depan mereka.

Di Sarawak khasnya, kita dapat melihat ramai ibu bapa yang beragama Islam menghantar anak–anak mereka ke sekolah mubaligh ataupun sekolah jenis kebangsaan tanpa rasa waswas atau risau akan terpesongnya akidah anak mereka. Pihak pengurusan sekolah pula tidak pernah mempunyai isu atau pertikaian dalam aktiviti pembelajaran atau seharian. Ini adalah kerana fokus utama adalah memberikan pendidikan yang sama rata kepada semua pelajar di samping menghormati agama dan kepercayaan mereka masing–masing. Justeru, ditempatkan ustaz dan ustazah di sekolah untuk mengajar dan membimbing pelajar–pelajar yang beragama Islam.

Dalam penulisan kreatif pula saya sememangnya lebih memilih penulisan berkaitan kemasyarakatan dan sosio ekonomi selain cerita rakyat yang menjadi asas penulisan saya. Saya menjadikan penulis besar seperti Jais Sahok dan A Samad Said yang menyatakan bahawa sesuatu penulisan yang akan kekal dibawa zaman adalah penulisan yang rapat dan membawa iktibar kepada masyarakat. Karya yang mengejar nama dan populariti akan tenggelam oleh waktu. Penulisan yang baik pula adalah penulisan yang mengikuti norma bahasa yang betul bagi mencerminkan satu karya penulisan yang bermutu.

Justeru, penggunaan perkataan “Tuhan” oleh semua penulis pada karya mereka adalah sesuatu yang tepat dan sesuai asas pendidikan yang mereka terima dahulu dan juga yang sedang berlangsung sekarang. Adakah kita mahu mendengar seorang pelajar sekolah rendah menyatakan penulisan seorang penulis besar bukan Islam di dalam cerita kanak–kanak adalah salah kerana dia menggunakan perkataan “tuhan” dan bukannya “Tuhan” seperti yang dia pelajari di sekolah?

Asas ejaan

Implikasinya adalah kanak–kanak ini akan terus memandang rendah karya dan penulis bukan Islam kerana tidak peka dengan asas ejaan seperti yang dia pelajari di sekolah. Maka generasi kita yang seterusnya akan kerugian kerana tidak berminat untuk membaca karya–karya bermutu terutamanya cerita rakyat yang banyak menyajikan kisah tauladan yang seharusnya menjadi amalan.

Malaysia adalah negara demokrasi yang diduduki oleh pelbagai kaum, etnik dan agama, khasnya di Sarawak yang mempunyai pelbagai etnik dan kepercayaan. Tidak dipertikaikan setiap ibu bapa mendidik dan menitikberatkan anak mereka sesuai anutan dan kepercayaan mereka masing sehinggalah berusia 18 tahun, sesuai Perlembagaan Malaysia. Justeru, sejak di peringkat sekolah rendah lagi semua pelajar ditekankan dengan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia yang merangkumi semua aspek iaitu rohani, jasmani, intelek, sosial dan moral.

“Kepercayaan kepada Tuhan” adalah prinsip pertama yang dibaca dan diterapkan oleh setiap pelajar dari pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan agama. Setiap anak Malaysia dengan ini jelas diajarkan agar taat kepada “Tuhan” sesuai kepercayaan masing–masing. Perkataan “Tuhan” yang satu–satunya itulah yang berjaya melahirkan generasi sekarang yang mampu membangun dan memakmurkan negara dengan melupakan detik hitam yang pernah berlaku suatu masa dahulu. Perkataan yang bukan sahaja dilafaz secara lisan oleh setiap anak didik Malaysia, tetapi dicetak di setiap belakang buku latihan sekolah agar sentiasa diingat dan diamalkan oleh setiap anak Malaysia. Malaysia tidak punya perkataan “tuhan”, melainkan “Tuhan” satu–satunya yang telah memakmurkan negara ini.

Tahun 2020 dengan Wawasan 2020 yang selama ini kita tunggu dengan penuh sabar dan debaran telah pun berlalu. Wawasan tersebut datang serentak di kala pandemik Covid-19 melanda dan menguji ketahanan mental dan sosial rakyat Malaysia dan juga keampuhan pemerintah. Setiap anak Malaysia berdoa dengan penuh kepercayaan kepada Tuhan mengikut anutan masing–masing agar musibah ini berlalu dan kita semua dilimpahi makmur sihat sejahtera. Maka, tidak harus ada harus ada diskriminasi oleh DBP yang menghalang orang bukan Islam menggunakan kata “Tuhan” (huruf besar).


BRUWIN JUMPUT adalah seorang berbangsa Dayak–Iban berasal dari Daerah Song, Sarawak. Lahir pada Januari 1983, merupakan anak kedua daripada tiga adik–beradik. Mula bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak di bangku sekolah rendah dengan penulisan pantun, sajak dan cerpen pendek yang bergenre cerita rakyat. Sekarang masih bergiat aktif menyertai pertandingan menulis yang dianjurkan oleh pelbagai pihak selain berkongsi pengalaman dan idea penulisan dengan pelajar di sekitar Kapit, di mana beliau bertugas sebagai eksekutif pentadbiran.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS