Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Bukan aku nok gi sangat, tapi sebab member'
Diterbitkan:  May 3, 2021 6:41 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Penceramah bebas yang sering diingati kerana jenaka dan pelat Terengganunya, Azhar Idrus, mendakwa kehadirannya ke majlis mentahnik anak kedua Siti Nurhaliza dibuat sebagai menghormati persahabatan dengan suami penyanyi terbabit.

Kata Azhar dia berkawan dengan Khalid Mohamad Jiwa - atau lebih dikenali sebagai Datuk K - sejak tiga tahun lalu.

Pendakwah berasal dari Terengganu itu memberitahu sudah dua kali Khalid mempelawanya berkunjung ke rumah mereka sebelum ini namun semuanya tidak dapat dipenuhi.

Bagaimanapun, kata Azhar, dia tidak mampu untuk menolak pelawaan kali ketiga itu memandangkan pasangan tersebut baru saja menimang cahaya mata kedua, Muhammad Afwa, 19 April lalu.

“Saya bukan berkawan dengan artis (Siti Nurhaliza). Tapi Datuk K bersaing (berkawan) dengan kita dah tiga tahun. Tiga kali dia minta mari (datang) bila saya datang ke Kuala Lumpur.

“Yang ketiga ni kita (saya) segan sikit sebab waktu sakit hari tu dia datang ziarah dua jam, kita dok (tak) balas lagi.

“Kebetulan tu rumah mak mentua di belakang rumah tu saja... rumah isteri, bukan aku nok (nak) gi (pergi) sangat, tapi sebab member (kawan),” katanya dalam satu rakaman video hari ini.

Tidak dapat dipastikan bila kenyataan itu dirakam, namun ia dipercayai direkodkan semalam.

Azhar adalah seorang daripada tetamu dikenali ramai yang hadir ke majlis diadakan bagi meraikan Muhammad Afwa baru-baru ini. Selain Azhar, turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad dan personaliti berasal dari Pulau Pinang, Don Daniyal Don Biyajid.

Doakan anak kawan

Siti Nurhaliza dalam satu kenyataan hari ini menafikan wujud pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan majlis tahnik pada 26 April lalu.

Katanya, kehadiran Azhar di situ cuma kebetulan kerana dia mempunyai urusan di Kuala Lumpur.

Majlis tersebut mengundang polemik di media sosial kerana menjemput pendakwah bebas tersebut yang didakwa merentas negeri untuk memenuhi undangan ke majlis berkenaan. 

Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pula memaklumkan mereka menerima satu laporan polis berkaitan isu berkenaan dan sedang menjalankan siasatan mengenainya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Esha berkata siasatan dijalankan mengikut Peraturan 19 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Kata Azhar lagi, tidak salah sekiranya dia hadir ke majlis tersebut untuk mendoakan anak kepada rakannya.

“Jika kawan kita minta doakan anak dia, takkan kita nak kata tak. 

"Ada ke dalam doa yang kata kalau pergi Kuala Lumpur tak boleh doakan anak kawan?” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS