Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perbicaraan rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang membabitkan Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terpaksa ditangguhkan sekali lagi akibat Covid-19.

Ini kerana seorang peguam dalam pasukan guaman bekas perdana menteri itu dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan seorang pesakit yang positif koronavirus.

Perbicaraan, yang dijadualkan bersambung hari ini hingga hari Rabu, telah ditangguhkan. Ia akan bersambung pada 17 Mei.

Atas alasan yang sama, rayuan berasingan Najib untuk membatalkan keputusan bersalahnya dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta, yang ditetapkan pada Khamis ini, juga telah ditunda.

Ini bukan kali pertama Covid-19 menyebabkan perbicaraan 1MDB Najib terpaksa ditangguh, dengan alasan serupa yang berlaku pada awal tahun lalu dan awal tahun ini.

Peguam pembelaan utama Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan bahawa perbicaraan 1MDB untuk minggu ini telah ditangguhkan kerana keseluruhan pasukannya sedang menjalani perintah kuarantin.

"(Perbicaraan 1MDB hari ini hingga Rabu minggu ini telah) ditangguhkan.

"Kontak rapat. Jadi pasukan (peguam Najib) terjejas," kata peguam itu ketika dihubungi oleh media.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama memetik peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mengesahkan perkara berkenaan melalui mesej WhatsApp kepada wartawan hari ini.

"Kedua-dua kes (SRC dan 1MDB) terpaksa dilapangkan minggu ini kerana seorang daripada peguam utama pasukan kami menjalani ujian dan kuarantin kerana kontak rapat kepada beberapa pesakit Covid-19 yang disahkan.

“Memandangkan seluruh pasukan telah bekerja rapat dengan peguam, langkah berjaga-jaga perlu diambil,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib melalui pesanan WhatsApp berkata pihak pembelaan telah memohon penangguhan Jumaat lepas.

"Mereka menghantar surat ke mahkamah lewat petang Jumaat,” katanya sambil menambah Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pihka pembelaan.

Hari ini, pihak pembelaan sepatutnya memeriksa balas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, yang merupakan saksi pendakwaan ke-10.

Beliau telah memberi keterangan sejak September tahun lalu.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bagi kes SRC, Najib mengemukakan rayuan terhadap Keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan CBT, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Pendengaran rayuannya dalam kes SRC ditetapkan untuk bersambung pada Khamis ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS