Bekas senator Ezam Mohd Nor yang memimpin NGO Gerak 98 mengumumkan kumpulan itu akan bertanding di 46 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Selangor dan Kedah pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 kelak.
Ezam berkata, kawasan yang bakal ditandingi adalah tempat calon sekutu Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali.
“Kedah dan Selangor menjadi tumpuan kerana ancaman reformasi terbesar di dua negeri ini.
“Kedah masih menjadi tapak utama bagi musuh nombor satu reformasi Dr Mahathir Mohamad.
“Manakala Selangor masih bersarang dengan kuncu-kuncu Azmin Ali yang berpotensi merosakkan reformasi selepas PRU15,” katanya menerusi sidang media di sebuah hotel di Ampang hari ini.
Tegas Ezam, calon Gerak 98 akan bertanding sebagai calon bebas serta perihal logo dan perkara berkaitan akan diumum selepas parlimen dibubarkan.
Terdahulu, Ezam memberi bayangan bahawa dia akan membuat kemunculan pada PRU15 kelak dengan menentang Menteri Besar Selangor Amirudin Shari di DUN Sungai Tua.
Mengulas lanjut, kata Ezam Gerak 98 tidak menolak kemungkinan menampilkan calon di negeri selain dua yang dinyatakan.
“[...] Ia akan diumum kemudian,” jelasnya.
Untuk rekod, Ezam ialah bekas ketua pemuda PKR (AMK) yang aktif menerajui Gerak 98 yang dilihat sebagai pendukung Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Bekas ahli Umno itu menyertai PKR selepas Anwar dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada 1998.
Ezam kembali menyertai Umno selepas PRU12 dan kemudian sekali lagi meninggalkan Umno dan selepas itu menyertai Bersatu pula.
Tidak lama selepas menyertai Bersatu, Ezam kemudiannya mengumumkan keluar dari parti itu dan mengumumkan penubuhan sebuah parti baru yang dikenali dengan nama Parti Bebas Rasuah.
Selepas beberapa bulan, Ezam mengumumkan pula keluar dari parti yang ditubuhkannya itu dan memberi perhatian kepada badan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Hisbah yang diasaskan beberapa tahun sebelum itu.