Bapa kepada pelajar yang baru-baru ini mendedahkan mengenai perbuatan mempersenda jenayah rogol berpendapat, melakukan protes atau mogok awam bukanlah cara yang sesuai menangai isu berkenaan.
Menurut Saiful Nizam Ab Wahab walaupun bersyukur dan menghargai sokongan yang diberikan kepada dia sekeluarga, protes tersebut - yang dinamakan sebagai NSWD (Nationwide School Walkout Day atau hari tinggalkan sekolah seluruh negara) - tidak sesuai dilakukan.
Hal itu kerana katanya NSWD dibimbangi akan mengundang lebih banyak aspek negatif, malah boleh menyuntik sikap memberontak terhadap pelajar secara tidak langsung.
"Pelajar ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan berkualiti dan perlu mengisi masa persekolahan mereka bukan untuk aktiviti mogok dan sebagainya.
"Malah tidak adil untuk meminta para pelajar membuat tindakan sedemikian pada tahap ini.
"Walaupun saya setuju dengan setiap permintaan daripada usaha NSWD namun saya fikir (langkah yang betul) bukan dengan cara protes dan mogok sebegini," katanya melalui hantaran di media sosial awal petang ini.
Baru-baru ini anak Saiful Nizam, Ain Husniza, menjadi perhatian apabila mendedahkan mengenai perbuatan seorang guru lelaki berjenaka mengenai jenayah rogol.
Ekoran daripada itu pelajar berusia 17 tahun itu turut mendapat ancaman rogol daripada salah seorang rakan kelasnya. Pelajar lelaki itu kemudian memohon maaf tidak lama selepas itu.
Hormati semua tak kira siapa
Semasa diwawancara Malaysiakini, Ain Husniza memberitahu dia mendedahkan isu tersebut sebagai langkah mengelak kejadian sama berulang lagi ketika sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat buat pelajar.
"Saya ingin hukuman tegas dan tindakan diambil terhadap cikgu itu agar cikgu lain di negara kita tahu perlakuan sebegitu tidak boleh diterima.
"Saya perlu lakukan perkara ini demi semua pelajar yang telah melalui hal seumpama ini," katanya.
Ia mendorong sekumpulan aktivis menggerakkan kempen NSWD yang mengajar semua pelajar dan guru meninggalkan kelas masing-masing pada minggu depan sebagai tanda proses kepada kejadian gangguan seksual di sekolah.
Kata Saiful Nizam bukan menjadi matlamat mereka untuk menyebarkan rasa benci sebaliknya menginginkan perubahan. Perbuatan mencaci pihak sekolah, katanya, hanya meletakkan orang ramai bersikap sama seperti pihak yang mereka tentang.
"Teruskan dengan usaha memberikan kesedaran dalam hal ini. Jenaka rogol tidak boleh diterima.
"Jangan normalkan budaya rogol dalam masyarakat ini. Hormati semua orang walau siapa pun mereka. Berikan mereka peluang untuk berubah," katanya.
Pada masa sama Saiful Nizam berharap orang ramai tidak menghina sekolah tempat anaknya belajar malah mereka sejak awal cuba mengelakkan agar institusi itu daripada dilibatkan.
"Sebagai contoh, ramai yang menyokong usaha Ain dan turut bersedih dengan apa yang dia alaminya disekolah tetapi ia bukanlah tiket untuk menghamburkan kejian dan hinaan terhadap sekolah serta guru tersebut," katanya.