Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk Kelantan digesa tingkat pematuhan SOP
Diterbitkan:  May 2, 2021 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Seluruh penduduk Kelantan digesa menyemai kesedaran yang tinggi berhubung pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha menyekat penularan Covid-19, selaras dengan peningkatan jumlah jangkitan penyakit itu yang kian ketara di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob yang membuat gesaan itu berkata dengan jumlah kes harian di Kelantan terus meningkat, kerajaan bimbang sekiranya pematuhan SOP terus diabaikan, jumlah kes jangkitan akan terus melonjak.

"Sekarang ini kita telah buka enam PKRC di Kelantan dan mungkin selepas ini akan berlaku pertambahan lagi," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor, di Kota Bharu hari ini.

Semalam Kelantan merekodkan kes harian baru 442, dengan 33 kluster masih aktif.

Sementara itu Ahmad Yakob berkata beliau tidak menolak kemungkinan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) dilaksanakan di Kelantan memandangkan jangkitan Covid-19 di negeri ini masih mencatatkan kes harian mencecah tiga angka.

Katanya Kelantan akan patuh dengan apa juga arahan kerajaan Pusat dalam usaha mencegah penularan Covid-19 di negeri ini, termasuk pelaksanaan PKP penuh sekiranya diputuskan sedemikian.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS