Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Undi 18 dijangka dilaksanakan tahun ini, kata Takiyuddin

Kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan Undi 18 dalam masa terdekat pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata ketika ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih meneliti beberapa perkara sebelum dimuktamadkan dan menjangkakan ia dapat dilaksanakan Julai ini sekali gus akan membolehkan rakyat Malaysia berumur 18 tahun mengundi pada PRU15.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh memberi jangka masa yang tepat tetapi yang pasti dalam tahun ini juga. Kalau boleh buat Julai ini, kita akan buat," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada imam-imam masjid Jumaat, halaqat dan penghulu bagi Parlimen Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata kerajaan menyokong serta amat komited memastikan usaha meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan iaitu menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dapat dilaksanakan.

"Itu memang menjadi hasrat kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, untuk kerajaan memberikan hak kepada rakyat kita yang berumur 18 tahun mengundi dan menentukan kepimpinan negara kita," katanya.

Menyentuh soal mengapa Undi 18 perlu mengambil masa sebelum dilaksanakan, dia berkata banyak perkara perlu diambil kira khususnya aspek perundangan.

"Apabila ada perubahan daripada segi polisi misalnya daripada umur 21 kepada 18 tahun ini, ada perundangan tertentu yang perlu dipinda dan ditambah baik kerana di bawah pilihan raya itu ada banyak undang-undang antaranya Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Akta Pilihan Raya serta ada peraturan-peraturan mengenai perjalanan pilihan raya dan sebagainya.

“Namun, SPR akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu berkaitan perundangan ini. Keduanya pula, isu teknikal juga perlu diambil tindakan oleh kerajaan terutamanya oleh SPR kerana apabila dibuka (undi 18 tahun) maka bilangan (pengundi) akan bertambah sekali gus perlu tambah baik perisian dan sebagainya,” katanya.

Ditanya mengenai kepentingan untuk meminda Perlembagaan berkenaan, Takiyuddin menjelaskan kebanyakan negara sudah mengamalkan minimum 18 tahun sebagai pengundi dan undang-undang di negara ini juga menggariskan usia berkenaan sebagai 'age of maturity'.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS