Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Semua rugi jika pembangkang hanya depani PN atas dasar kaum, agama'
Diterbitkan:  May 2, 2021 2:29 PM
Dikemaskini: 6:51 AM

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengingatkan semua pihak akan rugi jika pembangkang cuba berdepan dengan Perikatan Nasional (PN) semata-mata atas dasar kaum dan agama.

"Kumpulan rasis dan ekstremis agama dalam PN mahu berdepan dengan kita semata-mata atas dasar perkauman atau agama.

"Berjuang semata-mata dari perspektif etnik akan memecahbelahkan kita sebagai rakyat dan negara dan membiarkan kita terjebak dalam perangkap golongan rasis dan ektremis agama, yang merugikan kita semua," katanya dalam ucapan yang disampaikan dalam konvensyen DAP Johor di Batu Pahat, hari ini.

Ucapan itu dibacakan Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo memandangkan Lim tidak dapat hadir kerana sedang menjalani kuarantin.

Dalam ucapannya, Lim berkata DAP perlu mendepani PN menerusi prinsip.

"Hak rakyat Malaysia, termasuk minoriti, dilindungi dan digalakkan dengan sebaik-baiknya ketika kita bekerjasama di bawah perisai perlindungan Perlembagaan Persekutuan.

"Melindungi hak asasi kita seharusnya bukan dari perspektif etnik tetapi dari lima prinsip - menegakkan Perlembagaan Persekutuan, demokrasi, hak asasi manusia, keadilan sosioekonomi dan kedaulatan undang-undang.

"Kumpulan rasis dan ekstremis agama tidak mahu berdepan dengan kita berdasarkan lima prinsip ini kerana mereka tahu mereka akan kalah," katanya.

Tema ucapan itu adalah sebahagian naratif Lim di setiap konvensyen DAP negeri, di mana dia menekankan yang parti itu tidak akan cenderung ke arah cauvinisme.

Ia di tengah-tengah kritikan kem dalam DAP terhadap kepimpinan parti kerana didakwa "mencairkan kecinaan" parti untuk meraih sokongan Melayu.

Dakwaan itu dibuat oleh Adun Sungai Pelek Ronnie Liu yang juga berkata DAP telah membenarkan kalangan "elit" mengisi jawatan penting dan meminggirkan ahli akar umbi yang sekian lama berada dalam parti itu.

'Saya ingin ulang bahawa DAP adalah parti untuk semua rakyat Malaysia dan tidak akan menjadi parti cauvinis Melayu, Cina atau India.

"DAP akan sentiasa menjadi rakyat Malaysia dahulu (Malaysian first), tidak seperti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang secara tidak sengaja berkata dia adalah orang Melayu dahulu, rakyat Malaysia kedua.

"DAP tidak akan pernah berputus asa dengan cita-cita kita untuk membangun negara berdasarkan landasan persaudaraan kaum, keharmonian agama, peluang yang sama, keadilan sosioekonomi, demokrasi berparlimen, dan kesejahteraan ekonomi untuk semua," katanya lagi.

Dia turut menggesa DAP Johor, yang akan memilih barisan kepimpinan baru hari ini, untuk bersatu.

"Pada masa ketika Kerajaan PN berpecah berebut kuasa, DAP dan PH harus bersatu untuk memberi rakyat satu pilihan yang jelas bahawa kita memperjuangkan rakyat.

"Kesatuan seperti itu mesti dimulakan oleh ahli DAP di sini, di Johor. Tidak ada gunanya menang pemilihan parti hanya untuk kalah dalam pilihan raya umum.

"Marilah kita buktikan musuh politik kita salah bahawa kepimpinan dan keahlian kita berpecah belah. Marilah kita tunjukkan bahawa kita semua bersatu padu dengan kepimpinan parti Johor untuk mengulangi kejayaan kita dalam pilihan raya umum yang lalu," katanya lagi.

Penyandang pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berdepan pertentangan daripada sejumlah ahli akar umbi.

Terdahulu, veteran parti Lim Kit Siang mengambil risiko dengan menyuarakan sokongan kepada Liew - tindakan yang tidak disenangi kem yang menentang Liew.

Liew sekian lama menjadi sasaran kritikan kalangan berpendidikan Cina dalam DAP kerana mencadangkan agar parti itu meningkatkan keanggotaan Melayu.

Selain itu, ada juga dalam DAP Johor yang mengkritik cara kepimpinannnya.

Nasib Liew akan diperhati rapat memandangkan ia berkaitan dengan keadaan dalam kepimpinan pusat yang menyokongnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS