Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penggunaan katil ICU di Lembah Klang capai 90 peratus hari ini - KKM

Kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di Lembah Klang secara purata keseluruhannya telah mencapai 90 peratus setakat pagi ini, menurut statistik dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal/ICU dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 didapati telah melebihi ambang amaran kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, dengan ada antaranya telah pun menghampiri 100 peratus.

“Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal/ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Katanya sehubungan itu, pembedahan dan prosedur elektif di hospital sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan Covid-19.

"Ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi perawatan pesakit Covid-19.

"KKM (Kementerian Kesihatan) juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal," katanya

Dr Noor Hisham menyatakan kerjasama itu termasuk penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung kerajaan pada caj rawatan yang dipersetujui.

Dalam pada itu, dia memaklumkan Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.

Menurutnya KKM telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun lepas bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS