Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu pelantikan IGP: Adun gesa polis siasat menteri KDN
Diterbitkan:  May 1, 2021 10:00 AM
Dikemaskini: 2:31 AM

Adun Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menggesa Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin disiasat berhubung dakwaan campur tangan dalam pelantikan ketua polis negara (IGP) yang baru.

Mohd Fakhrulrazi yang membuat laporan polis malam tadi, berkata pelantikan ketua polis negara semasa tempoh darurat juga adalah tidak dibenarkan mengikut Akta Polis 1967.

Katanya, rakaman suara tular yang diakui oleh Hamzah semalam mendedahkan usaha terancang oleh menteri berkenaan untuk menyusun pelantikan dan penempatan pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Ini jelas satu penyalahgunaan kuasa dan campur tangan yang dilakukan oleh seorang menteri yang disyaki dengan tujuan yang tidak baik, bias dan menjejaskan serta mencalarkan imej PDRM secara keseluruhan," katanya dalam laporan berkenaan.

Berdasarkan Perkara 140 (1) Perlembagaan Persekutuan, suruhanjaya pasukan polis (SPP) bertanggungjawab terhadap kenaikan pangkat, pertukaran dan tindakan disiplin ke atas anggota polis.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Hamzah mempengerusikan suruhanjaya itu yang antara tugasnya membuat cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pelantikan jawatan-jawatan tertinggi dalam perkhidmatan polis.

Hamzah, melalui klip audio yang dipercayai perbualan telefon mendakwa dia akan mengesyorkan kepada Agong agar melantik "budak Ipoh" yang merupakan "budak kita" sebagai ketua polis negara yang baru.

Semalam, Hamzah menyerahkan surat pelantikan sebagai IGP kepada timbalan ketua polis negara, Acryl Sani Abdullah Sani. Acryl akan menggantikan Abdul Hamid Bador yang akan menamatkan perkhidmatan pada 4 Mei.

Sementara itu, laporan polis Fakhrulrazi juga mendakwa Hamzah melanggar Seksyen 15 Akta Polis 1967 yang melarang anggota polis untuk bersara atau mengundurkan diri semasa perang atau pengisytiharan darurat berkuatkuasa, kecuali jika disyorkan oleh ketua polis negara.

Ketika surat pelantikan itu diserahkan kepada Acryl semalam, tidak ada ordinan darurat yang diwartakan untuk menggantung atau membatalkan Seksyen 15 Akta Polis 1967. Namun, ordinan darurat boleh memiliki kesan retrospektif.

Dalam sidang media terakhirnya semalam, Hamid mendakwa Hamzah campur tangan dalam pelantikan anggota polis kanan. 

Dia juga menuduh Hamzah hanya mengadakan mesyuarat SPP empat kali setahun dan bukannya setiap bulan seperti sepatutnya.

Hamid mendakwa Hamzah tidak memandang serius mesyuarat tersebut yang disifatkannya sebagai "sesi minum kopi".

Hamid dilantik sebagai ketua polis negara pada tahun 2019 dengan kontrak selama dua tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS