Kira-kira 100 orang berbuka puasa di depan pintu masuk bangunan Parlimen hari ini dalam acara anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat bagi menuntut kerajaan melaksanakan enam perkara.
Lokasi itu dilihat bertepatan dengan salah satu tuntutan tersebut, iaitu agar sidang Parlimen kembali diadakan.
Lima lagi tuntutan adalah pelaksanaan Undi 18, jaminan kemandirian ekonomi rakyat, pemerkasan pendidikan yang selamat untuk semua, pemerkasaan hak Sabah dan Sarawak, dan penguatkuasaan undang-undang yang saksama dan berperikemanusiaan.
Perkara itu dinyatakan perwakilan Kumpulan Undi 18, Tharma Pilai yang berkata kehidupan rakyat semakin terjejas setelah lebih setahun berdepan wabak Covid-19.
“Hampir 800,000 orang kehilangan pekerjaan, 32,000 perniagaan kecil sederhana (PKS) ditutup, dan kadar pengangguran kini di paras 4.8 peratus (setakat Februari 2021).
"Lebih menyedihkan lagi, perlaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi menyekat penularan pandemik lebih setahun lalu masih cacamarba.
"Sudah terang dan jelas terdapat dua darjat daripada segi penguatkuasaan kerana menteri dan golongan 'kayangan' tidak dikenakan tindakan keras, sedangkan rakyat marhaen didenda puluhan ribu ringgit," katanya yang menyifatkan darurat gagal mengekang Covid-19, jika mengambil kira kes baru mutakhir ini.
Selain Kumpulan Undi 18, Sekretariat Solidariti Rakyat turut merangkumi antaranya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Bersih, Borneo Komrad, PSM, Suaram, Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (Umany), dan beberapa sayap parti pembangkang.
Selain aktivis, turut menyertai acara ini adalah Presiden Pejuang Tanah Air (Pejuang) Mukhriz Mahathir, Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei, Adun Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali dan Pengerusi Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan.
Para peserta mula berkumpul tempat letak kereta Taman Tugu yang terletak berdekatan sebelum berarak menuju pintu masuk bangunan Parlimen, pada kira-kira pukul 6.30 petang.
Selain berbuka puasa, peserta turut menunaikan sembahyang Maghrib berjemaah disusuli dengan bacaan al-Quran dan kupasan ayat al-Quran berkaitan kerajaan yang zalim.
Ditemui pemberita, Sheikh Umar menyifatkan kerajaan tidak menunjukkan hala tuju yang jelas di tengah-tengah peningkatan kes Covid-19.
“Sebaliknya isu rakyat makin hari makin banyak, seperti isu kompaun yang dikenakan secara dua darjat baru-baru ini. Pada masa yang sama parlimen tidak dibenarkan bersidang,” katanya, yang menyifatkan demokrasi begitu merosot di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
“Kita mahu enam tuntutan ini ditunaikan kerajaan dan rakyat akan terus menuntut sehingga ia dilaksanakan, agar Malaysia menjadi negara yang lebih maju dan demokratik pada masa yang akan datang,” katanya.
'Tunggu tarikh mengadap Agong'
dalam perkembangan lain, Mukhriz memaklumkan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat masih lagi menanti tarikh untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah.
"Saya fikir Istana pun tahu sebenarnya dan kita nak nyatakan peri pentingnya Parlimen ini dapat bersidang semula seperti mana yang disarankan Yang di-Pertuan Agong," katanya.
"Kita menanti saja. Bila kita terima berita istana sedang menguruskan (pertemuan) pun dah melegakan hati kita," katanya.
Pada 22 April lalu, jurucakapnya Khalid Samad berkata Agong berkenaan membenarkan jawatankuasa terbabit mengadap agar mereka dapat menyerahkan memorandum berkaitan darurat.
Pada 12 Mac lalu jawatankuasa itu - yang dianggotai sejumlah ahli politik dan aktivis - melancarkan kempen mengumpul tandatangan termasuk secara dalam talian bagi memohon agar darurat ditamatkan.