Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam: Bedah siasat tunjuk Ganapathy mati akibat cedera teruk di kaki, bahu

Hasil laporan bedah siasat A Ganapathy - yang meninggal dunia di hospital setelah ditahan polis - mendapati dia mati akibat kecederaan teruk di kaki dan bahu, menurut peguam keluarganya K Ganesh.

"Hari ini (semalam) seorang doktor daripada Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur memberitahu keluarganya mengenai hasil bedah siasat.

"Kami diberitahu Ganapathy mati akibat kecederaan teruk di bahagian kaki dan bahu," dakwanya kepada Malaysiakini.

Dia juga mendakwa seorang pegawai penyiasat kes kematian tersebut turut ada ketika pihak hospital menjelaskan keputusan bedah siasat kepada keluarga.

Bagaimanapun Ganesh berkata pihak keluarga masih belum menerima laporan penuh bedah siasat.

"Bedah siasat dilakukan selama lapan jam pada hari kematian. Hari ini kami diberitahu hasil laporan, tapi masih belum terima laporannya.

"Sekarang, polis perlu kotakan janji bahawa akan siasat menyeluruh kes ini," katanya, merujuk kenyataan Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe bahawa pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat.

Menteri akan bangkitkan dalam kabinet

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, berkata dia akan menghubungi Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berhubung kes berkenaan.

"Saya akan menghubungi Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri bagi mendapatkan pencerahan serta perkembangan kes ini.

"Perkara ini juga akan dibangkitkan di dalam mesyuarat kabinet memandangkan keseriusan kes yang berpotensi mengurangkan keyakinan orang ramai terhadap integriti PDRM.

"Pihak polis mempunyai tanggungjawab bagi memastikan siasatan kes ini telus, dan ia harus dijalankan segera bagi mengelakkan sebarang ketidakpercayaan orang ramai," katanya yang juga timbalan presiden MIC dalam kenyataan.

Pada 11 Mac lalu, ibu mendiang, S Thanaletchumy membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak, mendakwa anaknya dipukul ketika dalam tahanan sehingga menyebabkan kakinya perlu dipotong.

S Thanaletchumy

Dalam laporan itu, Thanaletchumy, 60, berkata anaknya ditahan pada 24 Februari bagi membantu siasatan terhadap seorang lagi anaknya yang dikehendaki polis.

Anaknya dalam keadaan sihat ketika ditahan walaupun mempunyai sejarah penyakit diabetes dan masalah jantung, menurut laporan itu lagi.

Pada 8 Mac lalu, ahli keluarga mendiang menerima panggilan daripada seorang sarjan yang memaklumkan bahawa Ganapathy telah dibebaskan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.

Thanaletchumy mendakwa anaknya memberitahunya bahawa ketika dalam tahanan dia dipukul oleh polis dengan paip getah.

Di hospital, Ganapathy disahkan mempunyai masalah buah pinggang dan kakinya terpaksa dipotong.

Ganapathy yang merupakan seorang peniaga susu lembu dan mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun, meninggal dunia pada 18 April di hospital tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS