Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Individu tiba dari 40 negara wajib kuarantin 14 hari
Diterbitkan:  Apr 29, 2021 9:37 PM
Dikemaskini: 1:37 PM

Pengembara dari senarai negara yang dilaporkan wujud penularan Variant of Concern (VOC) SARS-CoV-2 dalam komuniti perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata 40 negara yang tersernarai adalah seperti berikut:

Amerika: Amerika Syarikat, Argentina, Brazil, Colombia, Chile, Mexico, Kanada, Peru

Eropah: Austria, Belgium, Denmark, Yunani, Ireland, Itali, Jerman, Lithuania, Belanda, Norway, Perancis, Republik Czech, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Turki, United Kingdom

Timur Tengah: Emiriah Arab Bersatu, Iraq, Qatar, Israel

Afrika: Rwanda, Afrika Selatan, Mozambik, Nigeria, Tanzania

Asia: Bangladesh, India, Kemboja, China, Filipina, Jepun

Berikut adalah langkah berjaga-jaga yang perlu diambil bagi pengembara-pengembara yang tiba dari negara-negara berkenaan:

  1. Memuat turun, mendaftar, dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera dalam telefon sebelum tiba di Malaysia.
  2. Menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mendaftar kod QR semasa ketibaan pengembara di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).
  3. Melalui saringan demam dan gejala di PMA.
  4. Menjalani swab sampel bagi ujian pengesanan jangkitan Covid-19 tiga hari sebelum tarikh berlepas dengan keputusan negatif.
  5. Menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian (kuarantin) selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan.
  6. Memantau status kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera selama 14 hari semasa dalam tempoh kuarantin. Jika bergejala, maklumkan kepada pasukan perubatan bertugas untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan selanjutnya.
  7. Kekal tinggal dalam stesen kuarantin dan tidak keluar bilik.
  8. Mematuhi SOP, perundangan dan peraturan berkaitan dengan pengurusan Covid-19 yang telah ditetapkan oleh kerajaan pada setiap masa.
  9. Menjalani ujian saringan Covid-19 pada hari ke-10 dari tarikh ketibaan di Malaysia.
  10. Pengembara akan dilepaskan dari kuarantin pada hari ke 14 sekiranya ujian pengesanan Covid-19 adalah negatif.

Bermula semalam, kerajaan melaksanakan sekatan sementara penerbangan dari dan ke India susulan penularan varian tersebut di sana.

Tindakan sama turut dilakukan beberapa negara lain termasuk Singapura, Hong Kong, Australia, Kanada, New Zealand, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom dan Indonesia.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata kemunculan varian baru itu akan meningkatkan risiko penularan lebih besar jika orang ramai tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Tiga varian

Senarai kementerian merangkumi negara-negara di mana varian B.1.351, varian B.1.1.7 dan varian UK B.1.1.7 telah dikesan.

Senarai itu berdasarkan laporan mutakhir Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Varian B.1.351 pada mulanya dilaporkan di Afrika Selatan. Varian itu meningkatkan kadar kebolehpindahan virus dan mengurangkan keberkesanan vaksin tertentu.

Ia kali pertama dilaporkan di negara ini pada 14 April.

Varian UK B.1.17 pula - atau dirujuk sebagai varian UK - turut meningkatkan kadar kebolehpindahan virus tetapi setakat ini tidak dilihat mengurangkan keberkesanan mana-mana virus.

Sudah ada kes dalam negara ini dengan varian Afrika Selatan.

Varian ketiga adalah B.1.128 (P1), atau lazimnya dirujuk sebagai varian Brazil kerana mula dikesan di negara itu. Ia juga meningkatkan kadar kebolehpindahan virus dan mengurangkan keberkesanan vaksin tertentu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS