Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
3 suspek kes samun barang kemas bernilai RM40,000 ditahan

Tiga lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Taman Sri Gombak, Batu Caves di Kuala Lumpur pada Isnin lepas, ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata penahanan kesemua mereka berumur lingkungan 20an dibuat susulan laporan polis oleh mangsa lelaki berumur 52 tahun memaklumkan kejadian pecah masuk oleh dua daripada suspek yang memakai topi keledar di rumahnya.

Beliau berkata kejadian pada 3.30 petang itu difahamkan berlaku ketika isteri serta anak lelaki mangsa berada di rumah.

”Seorang daripada suspek didapati telah mengacukan sebilah pisau ke leher isteri mangsa selain memaksanya untuk membuka peti keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, suspek kemudian bertindak mengambil barang-barang kemas peribadi milik keluarga terbabit antaranya empat rantai emas, tiga bentuk cincin emas, empat pasang subang emas, dua gelang tangan emas, tiga rantai tangan emas serta dua loket emas selain sejumlah wang.

“Mangsa mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM40,000,” katanya.

Arifai berkata ketiga-tiga suspek terlibat ditahan di tiga lokasi berasingan di sekitar daerah Gombak dan Hulu Selangor dan polis turut merampas barang-barang kes dipercayai adalah milik mangsa.

Menurutnya hasil siasatan lanjut ke atas suspek didapati tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 4 Mei untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

Arifai berkata siasatan lanjut masih lagi diteruskan untuk mengesan rakan sejenayah yang masih bebas selain mengenal pasti penglibatan kumpulan ini dalam kes-kes lain.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS