Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DBKL siasat, semak isu tunggakan bil air PA Sri Kelantan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan semakan dan siasatan mengenai jumlah bayaran bil air tertunggak melibatkan tiga blok Perumahan Awam (PA) Sri Kelantan, Sentul di Kuala Lumpur, yang mengalami isu pemotongan bekalan air oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd sejak Selasa.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiga blok perumahan PA tersebut diuruskan secara berasingan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan DBKL yang berkongsi meter air pukal.

"Begitupun, DBKL telah mengambil tindakan segera dengan menyelesaikan bayaran kepada pihak syarikat Air Selangor bagi memastikan penduduk di PA ini terus mendapat bekalan air.

“Satu mesyuarat berkaitan jumlah bayaran bil air tertunggak akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan pihak-pihak terlibat," menurut kenyataan itu.

DBKL juga sedang mengkaji kemungkinan untuk melaksanakan pemecahan meter secara individu supaya dapat menyelesaikan isu tunggakan sedia ada memandangkan ketiga-tiga blok PA tersebut menggunakan meter pukal.

Semalam, media melaporkan penduduk di tiga blok PA itu didakwa kerap berdepan gangguan bekalan air akibat tunggakan mencecah RM97,000 melibatkan satu blok, dan perkara itu disifatkan tidak adil kerana turut memberi kesan kepada penduduk di dua blok lagi di kawasan perumahan berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS